HomeIsu tempatanMahu mendalami bidang Akualkultur Marin lebih dekat - Noorikmal

Mahu mendalami bidang Akualkultur Marin lebih dekat – Noorikmal

Read Time:1 Minute, 26 Second

TUARAN : Meskipun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dari segi fizikal, Noorikmal Noorkafli,18,tetap bersemangat untuk berjaya dalam kehidupan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu terpilih menyertai Program Latihan Kemahiran Sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dilaksanakan secara modular di Pusat Latihan Akualkultur Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan (Ko-Nelayan) (KATC).

Program latihan dalam bidang Akualkultur Marin bagi tahap dua dan tahap tiga yang bermula bulan ini dilaksanakan selama dua bulan adalah dibawah pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sabah.

Noorikmal yang menggunakan tongkat selepas kaki kirinya mengalami masalah sejak lahir mengakui pernah hilang semangat untuk meneruskan pembelajaran di peringkat sekolah menengah.

“Namun, berkat doa dan nasihat ibu bapa, saya terus kuatkan semangat dan ingin membuktikan bahawa orang seperti saya (OKU) juga mampu bersaing dan berjaya sama seperti mereka yang normal.

“Saya mula memohon program ini sejak beberapa bulan lalu melalui atas talian kerana ingin tahu lebih dekat tentang kemahiran yang ditawarkan.  Pada mulanya saya tidak juga berharap namun syukur apabila terpilih dan menerima tawaran di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Penyerahan Surat Tawatan dan Sesi Orientasi Perantis Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)-SLDN di KATC di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengurus Besar Ko-Nelayan Sabah Yusof Awang Besar dan turut dihadiri Penolong Pengurus Besar (Bahagian Pembangunan Perancangan Strategik) Ko-Nelayan Salleh Obong.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras SLDN, Ahzlinda Ahkian berkata, KATC adalah satu-satunya pusat latihan kemahiran dalam bidang akuakultur marin yang ada di Sabah.

Katanya, ini menjadi satu kebanggaan kepada Ko-Nelayan kerana melalui pusat latihan ini telah berjaya melahirkan ramai pekerja yang mahir mengikut permintaan industri masa kini.

“Kita juga boleh melahirkan pengusaha dan penternak yang berkemahiran melalui latihan-latihan yang ada dipusat latihan ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular