Kerajaan perlu segera cari solusi jangka panjang agar ekonomi ayam terus berdaya saing

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:4 Minute, 19 Second

1. Dalam enam bulan lepas, negara menghadapi isu bekalan dan harga ayam yang serius, sehinggakan Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil beberapa langkah drastik segera, termasuklah – menghentikan eksport ayam, memansuhkan permit import ayam, menaikkan harga siling ayam serta menyediakan subsidi kepada penternak ayam.

2. Tindakan Kerajaan Malaysia tersebut telah berjaya menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran, dan seterusnya melegakan kerisauan para pengguna, memandangkan ayam adalah sumber protein utama rakyat Malaysia. Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2019, jumlah consumption tahunan ayam di Malaysia ialah 50.9 kg per kapita, jauh lebih tinggi dari sumber protein yang lain.

3. Pada masa yang sama, penternak ayam juga merasa lega kerana bantuan subsidi yang disediakan oleh kerajaan serta kenaikan harga siling ayam telah dapat sedikit sebanyak menampung kos penternakan ayam yang telah melambung tinggi.

4. Namun begitu, isu ekonomi ayam ini belum lagi berakhir. Ketika ini, isu bekalan daging ayam telah melarat kepada isu bekalan telur ayam. Beberapa bulan yang lepas, isu bekalan telur ayam telah di timbulkan untuk perhatian. Sejak itu, isu bekalan telur ayam ini telah menjadi lebih serius. Mengikut laporan media di dalam The Star pada 19 Oktober 2022, bertajuk Farmers warn of egg shortage, para penternak ayam telur memberi amaran bahawa isu bekalan telur ayam akan berterusan dan dijangka semakin meruncing sehingga tahun hadapan.

5. Seperti penternak ayam daging, penternak ayam telur juga menghadapi isu kos penternakan ayam yang telah meningkat dengan ketara. Kesan daripada isu-isu global, kos menternak ayam telah meningkat kerana Malaysia bergantung tinggi kepada import untuk sumber makanan atau dedak ayam iaitu – jagung dan soya. Kos makanan ayam meliputi 70% daripada kos penternakan ayam, selain kos-kos pekerja, logistik dan ubat.

6.  Sebagai contoh, menurut laporan media, harga jagung telah meningkat kepada RM 1,700 satu tan, dari RM 1,600 satu tan pada bulan lepas, iaitu peningkatan sebanyak 6% dalam tempoh sebulan. Malah sejak isu-isu global seperti pandemik Covid-19 dan peperangan Ukraine-Russia, kos makanan ayam di anggarkan telah meningkat melebihi 100%!

7. Kejatuhan nilai mata-wang Ringgit Malaysia berbanding US Dollar juga telah menyebabkan kos impot makanan ayam tersebut terus meningkat. Sebagai perbandingan, pada 18 Julai 2022, nilai tersebut ialah RM 4.45/ USD 1.00. Manakala pada 17 Oktober 2022, nilai tersebut telah susut kepada RM 4.71/ USD 1.00, iaitu nilai paling rendah dalam sejarah. Ini merupakan penyusutan nilai sebanyak 6% dalam tempoh 3 bulan. Oleh kerana kebergantungan tinggi kepada impot makanan ayam dan tiada alternatif makanan ayam yang sesuai dalam negara, situasi ini akan terus menyebabkan lebih banyak aliran keluar wang dalam jangka masa terdekat.

8. Di sebabkan oleh kos penternakan ayam yang terus meningkat, ramai penternak ayam telur mengalami kerugian serta menghadapi masalah aliran tunai yang kritikal. Keadaan ini telah memaksa ramai penternak ayam telur, terutamanya bersaiz kecil dan sederhana, untuk mengecilkan operasi. Akhirnya, tindakan ini telah menyebabkan bekalan telur ayam di pasaran berkurangan.

9. Menurut laporan media pada 16 Oktober 2022, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia mengesahkan bahawa bekalan telur ayam di dapati telah berkurangan. Isu bekalan telur ayam ini bertambah buruk kerana penternak ayam telur banyak mengekspot telur gred A, B dan C, ke luar negara.

10. Begitu juga, menurut laporan The Star pada 19 Oktober 2022, Presiden Klang Coast Sundry Goods Merchants’ Association menyatakan bahawa bekalan telur ayam di kalangan ahli persatuan tersebut telah berkurangan sebanyak 50% sejak minggu lepas. Dalam laporan media yang sama, Pasaraya NSK Group menyatakan bahawa pembekal telur ayam hanya dapat memenuhi 30% sahaja kehendak-nya.

11. Pada awal Oktober 2022, setelah mengambil kira kos penternakan ayam yang telah meningkat tinggi, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk subsidi harga kawalan telur ayam gred A, B dan C dinaikkan sebanyak tiga sen kepada lapan sen sebiji. Kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pembayaran subsidi berkenaan sehingga Disember 2022 agar bekalan telur ayam kembali stabil.

12. Walaubagaimanapun, tidak seperti harga siling daging ayam yang telah di naikkan, harga siling telur ayam di kekalkan pada harga semasa iaitu: gred A – RM 0.45/biji, gred B – RM 0.43/biji, dan gred C – 0.41/biji.

13. Justeru itu, Timbalan Presiden Federation of Livestock Farmers Associations of Malaysia di laporkan menyatakan bahawa isu bekalan telur ayam tidak akan bertambah baik sekiranya harga telur ayam masih di kawal oleh Kerajaan Malaysia, dan tidak di apungkan mengikut kuasa pasaran. Oleh yang demikian, cadangan untuk harga telur ayam di apungkan wajar di teliti secara terperinci oleh kerajaan sebagai langkah win-win untuk pengguna dan pembekal, yang akhirnya dapat mengurangkan beban pembiayaan subsidi oleh kerajaan.

14. Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, dari bulan Februari 2022 hingga September 2022, Kerajaan Malaysia telah memberikan peruntukan subsidi ayam dan telur sejumlah RM1.233 bilion. Sekiranya jumlah subsidi yang besar ini berpanjangan, sudah pasti ianya akan memberi tekanan kepada kewangan negara. Tambahan lagi, pembiayaan subsidi sebegini hanyalah mengubati ‘simptom’ tanpa merawat ‘penyakit’ sebenar yang dihadapi.

15. Kerajaan Malaysia mesti segera mencari solusi jangka masa panjang yang mampan agar ekonomi ayam terus berdaya-saing dan stabil. Solusi tersebut wajar mengimbangi antara kemampuan pengguna untuk membeli (affordability) dan kemampuan penternak untuk membekal (availability). Agenda keselamatan makanan negara mesti menjadi keutamaan semua pemegang taruh.

Oleh:
Wan Azrain Adnan
19 Oktober 2022

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *