HomeSukanSabah cipta kejutan muncul juara keseluruhan Para SUKMA 2022

Sabah cipta kejutan muncul juara keseluruhan Para SUKMA 2022

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Sabah mencipta kejutan dalam arena sukan Para apabila berjaya muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 seterusnya mengetepikan juara bertahan Sarawak yang sebelum ini bertahan selama 13 temasya.

Prestasi ditunjukkan barisan atlet Sabah pada temasya kali ini dianggap luar biasa apabila mengungguli 54 emas; 34 perak dan 31 gangsa seterusnya gagal dicabar Sarawak yang hanya membawa pulang 47 emas; 45 perak dan 48 gangsa untuk berada ditangga kedua.

Tempat ketiga temasya menjadi milik Johor yang memenangi 36 pingat emas; 28 perak dan 23 gangsa.

Ketua Kontinjen Sabah Datuk Mansur Assun berkata, kejayaan ini merupakan satu usaha dan latihan serta kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan.

“Pada temasya Para SUKMA tahun ini, Sabah telah berjaya menduduki tempat pertama juara keseluruhan iaitu menggondol 54 pingat emas; 36 perak dan 35 gangsa.

“Secara keseluruhan apa yang telah kita usahakan termasuk latihan yang begitu sistematik, kerjasama diantara pelbagai pihak agensi Kerajaan juga membolehkan kita memperolehi kejayaan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tiba bersama kontinjen Para SUKMA 2022 Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini petang tadi.

Sabah telah diwakili seramai 109 atlet Para yang menyertai pelbagai jenis sukan termasuk olahraga; tenpin boling; renang; memanah dan beberapa acara lain.

Mansur yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah berkata, pihaknya sebelum ini hanya menyasarkan sebanyak 40 pingat emas.

“Kelainan penglibatan Sabah kali ini kita telah mencapai sasaran tetapi sebenarnya kita telah melepasi sasaran sebenar iaitu hanya menyasarkan 40 pingat emas.  Diperingkat olahraga sasaran kita hanya 19 emas tetapi kita dapat 30 emas.

“Begitu juga dengan sukan-sukan lain dan beberapa rekod juga berjaya dicipta.  Sebagai contoh renang dan sukan-sukan lain, semua ini agak luar biasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai insentif kemenangan kepada para atlet seperti SUKMA sebelum ini, Mansur berkata, insentif sama juga akan diberikan kepada para atlet yang memenangi pingat pada temasya Para SUKMA.

“Mengenai insentif, seperti juga SUKMA lalu, kali ini insentif juga akan diberikan kepada mereka atlet Para SUKMA yang telah mendapat emas; perak dan gangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran di Facebook rasminya turut merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen Para SUKMA 2022 Sabah.

“Tahniah, syabas dan terima kasih kepada para atlet, pegawai dan semua rakyat Sabah yang terus memberikan sokongan dan dokongan,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan bola sepak medan cungkil bakat baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular