PRU15: Calon GRS Kota Marudu positif, pengundi masih berpihak pada kerajaan kini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA MARUDU: Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berfikiran positif pengundi di sini masih berpihak dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau, yang juga calon GRS untuk Kota Marudu, berkata demikian berdasarkan sentimen yang disuarakan rakyat di kawasan ini yang dahagakan pembangunan, dan percaya hanya kerajaan kini yang mampu membawa perubahan.

“Melihat dari segi kehadiran dan juga analisa di peringkat akar umbi, masih (ramai) yang memihak kepada kita. Rakyat mahu teruskan kerajaan GRS dan memastikan semua calon yang disokong oleh kerajaan GRS menang demi memperkuatkan lagi jentera kerajaan dan agar kita mempunyai kuasa menentukan siapa pemerintah di peringkat pusat nanti.

“Oleh itu kita perlu bekerja keras dan seperti mana nasihat Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor), jangan terpengaruh dengan janji yang ditabur pihak lawan,” ujar Maximus, yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Terbuka Kampung Kirangawan Laut, Matunggong, hari ini. (13 Nov)

Ditanya mengenai serangan peribadi terhadap beliau, Maximus menjawab itu adalah taktik biasa pihak lawan yang gemar menokok-tambah cerita untuk menjatuhkan beliau.

“Kekadang mereka mengambil peluang menuntut pencapaian yang tidak ada kena-mengena dengan apa yang telah mereka laksanakan. Tapi rakyat tahu akan kebenarannya kerana pihak kerajaan sentiasa memberikan maklumat terkini dan diedarkan kepada media, kerana itulah yang benar,” jelasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *