PRU15 : Pengundi muda perlu bijak memilih, jangan jadikan sebagai eksperimen

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:56 Second

KOTA KINABALU: Golongan muda khususnya pengundi baharu yang pertama kali mengundi pada pilihan raya perlu bijak memilih parti yang mempunyai trek rekod pentadbiran dan mempunyai perancangan yang baik.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ini bagi memastikan sebuah Kerajaan yang dipilih itu akan kekal stabil tanpa sebarang gangguan dari pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada kali ini, kita mempunyai ramai pengundi muda, jadi saya menasihatkan atau berpesan kepada pengundi muda untuk bijak memilih sebelum keluar mengundi.

“Fikirkan dengan sebaiknya kerana satu undi yang dibuat pada 19 hari bulan ini akan menentukan masa depan lima tahun Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Gaya di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, golongan belia juga diingatkan agar tidak menjadikan undi sebagai satu eksperimen.

“Jadi janganlah dibuat undi secara eksperimen tetapi buatlah undi dengan keputusan yang telah difikirkan dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam lawatan sama, beliau turut berkesempatan untuk menyantuni anak-anak muda di kejohanan bola tampar di Gelanggang Bola Tampar BELIAGAYA. – SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *