Dayyan timba pengalaman, iring pemain antarabangsa pada saingan Piala Dunia 2022

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Pengalaman menjadi pengiring kepada pemain pasukan Croatia pada saingan Piala Dunia di Qatar menjadi satu pengalaman berharga yang sukar dilupakan buat seorang kanak-kanak berasal dari negeri Sabah Ahmad Qayyim Dayyan Ahmad Syukri,10.

Dayyan adalah anak kedua dari tiga beradik merupakan anak kepada pasangan Ahmad Syukri Mustakim, 39 dan Suzriana Wahimin, 39, yang berasal dari Likas, Kota Kinabalu.

Pada ketika ini Dayyan bersekolah di Middle East International School Qatar dan terpilih menjadi antara pengiring pasukan Croatia yang menentang Kanada semalam.

Dayyan (lima kiri barisan depan) bersama pasukan Croatia di Piala Dunia

Difahamkan, Dayyan juga amat meminati sukan bola sepak dan juga sedang mengikuti program bola sepak di negara Qatar.

Ayahnya, Ahmad Syukri merupakan seorang jurutera yang kini bertugas sebagai pengurus projek di Ashgal di Qatar.

Ibu Dayyan, Suzriana Wahimin dalam hantarannya di akaun facebooknya menyifatkan peluang itu adalah sebagai pengalaman berharga apabila anaknya itu menjadi salah seorang ‘player escort’ untuk pasukan Croatia, mengiring pemain Marcelo Brozovic semalam.

“Semua excited tunggu tengok Dayyan. We love you adik. Ini peluang sekali dalam hidup, Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dayyan, Wahimin Jati yang menetap di Kampung Likas ketika dihubungi melahirkan rasa gembira dan bangga dengan penampilan cucunya walaupun sebagai pengiring pemain di Piala Dunia.

“Budak ini memang meminati bola sepak, saya berharap pendedahan sebegini mampu meningkatkan semangatnya untuk mengembangkan lagi bakat dalam bola sepak pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, secara kebetulan juga Dayyan pada masa ini sedang mengikuti program bola sepak di Qatar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.