KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini melafaz sumpah jawatannya bagi penggal keempat.
Beliau kemudiannya menandatangani Surat Cara Angkat Sumpah Jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Istiadat berlangsung di Dewan Istiadat, Istana Seri Kinabalu itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang turut menyampaikan ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setia.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Menteri – menteri kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong serta ketua-ketua jabatan.
Pada 23 Disember lalu, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung tempoh perkhidmatannya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Tun Juhar, 69, yang dilantik menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah sejak 1 Januari 2011, merupakan TYT pertama yang diberikan amanah tersebut lebih 10 tahun selepas pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi memansuhkan had tempoh dua penggal perkhidmatan TYT diluluskan DUN Sabah pada tahun 2018.