Anak Negeri gesa kerajaan Sabah berpegang teguh dalam peruntukan kewangan untuk Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

RANAU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) menggesa kerajaan Sabah supaya berpegang teguh kepada peruntukan kewangan untuk Sabah seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh, Bahagian IV (2) dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Henrynus Amin, berkata, Perkara 112D (1) menyatakan keperluan untuk semakan berkala bagi geran khas yang dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan, tetapi pada masa yang sama, artikel tersebut jelas memberikan Sabah dan Sarawak hak untuk sama ada menerima atau menolak sebarang perubahan yang dicadangkan.

Katanya, sebarang perubahan kepada peruntukan kewangan seperti yang dinyatakan di bawah Jadual Kesepuluh Bahagian IV hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat persetujuan oleh Dewan Perundangan Negeri Sabah atau Sarawak.

Anak Negeri juga turut mempersoalkan keperluan formula baru yang dicadangkan kerana sudah ada formula sedia ada untuk pemberian geran khas kepada Sabah yang ditakrifkan dan dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh, Bahagian IV (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami mendapati tiada masalah dengan formula yang sedia ada. Sekarang adalah soal pelaksanaan, bukan rundingan. Mengapa perlu mengubah atau merumuskan formula yang baru,” soalnya.

“Anak Negeri mempersoalkan keperluan untuk menukar formula pemberian khas Sabah yang dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh, Bahagian IV (2) kerana ia tidak pernah disemak sepanjang beberapa tahun, apatah lagi dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusuf bahawa akan ada formula baru mengenai pemberian geran khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Sabah harus menolak formula baru yang dicadangkan itu kerana ia berpotensi menghapuskan atau membatalkan peruntukan perlembagaan khusus di mana Sabah berhak mendapat 40 peratus daripada hasil bersih persekutuan terakru di Sabah.

“Rakyat Sabah mahukan jawapan mengapa Kerajaan Persekutuan tidak mengendahkan gesaan berulang kali bagi pelaksanaan peruntukan perlembagaan berkaitan pemberian geran khas untuk Sabah.

“Sehingga baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan secara sistematik terus menafikan Sabah haknya untuk mendapatkan geran khas tambahan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata, Anak Negeri melihat 40 peratus pemberian geran khas kepada Negeri Sabah sebagai hak negeri istimewa yang harus dipertahankan dengan tulus oleh rakyat Sabah.

“Kita mesti diingatkan Jadual Kesepuluh Bahagian IV telah berjaya dirundingkan oleh bapa bapa kemerdekaan Sabah untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan pembangunan Sabah.

“Sabah berhak sepenuhnya kepada 40 peratus daripada hasil bersih persekutuan yang terakru di Sabah setiap tahun untuk mengurangkan beban sebagai negeri termiskin di seluruh Malaysia,” tegasnya.

Tambah beliau, infrastruktur Sabah hampir 30 tahun di belakang Malaysia Barat dan rakyat Sabah telah menderita dan menanggung kos sara hidup tertinggi yang mendorong mereka jatuh ke jurang ekonomi yang paling rendah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *