Elak ceroboh kawasan pepasangan milik SESB

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan dengan pepasangan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terutama di kawasan pencawang dan menara elektrik yang berisiko tinggi.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, kawasan berisiko tinggi ini msmpu mengundang kepada bahaya renjatan elektrik dan boleh mengakibatkan kematian.

Katanya, sebarang aktiviti yang dilakukan di bawah atau berhampiran talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.

“Semua pencawang dan menara talian penghantaran elektrik adalah kawasan yang berisiko terkena renjatan elektrik dan apa juga aktiviti yang dilakukan berhampiran dengannya boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Idris berkata demikian lanjutan daripada klip video Tik Tok yang viral mengenai perkuburan di bawah menara talian penghantaran elektrik SESB.

Katanya, aktivit mengorek lubang di bawah menara penghantaran elektrik milik SESB adalah satu pencerobohan dan boleh menjejaskan kestabilan menara tersebut.

“Antara aktiviti lain yang berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik.

“Selain itu, kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram dan juga menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam turut mengundang risiko,” katanya.

Katanya, aktiviti-aktiviti sedemikian boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa.

Dalam masa yang sama, Idris berkata, SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat.

Sehubungan dengan itu, katanya, SESB memohon jasa baik semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti membahayakan berhampiran pepasangan elektrik SESB, berkenaan dengan tiang tumbang, atau sebarang masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *