HomeUtamaMPS, PBT pertama di Sabah dapat pensijilan ABMS ISO 37001:2016

MPS, PBT pertama di Sabah dapat pensijilan ABMS ISO 37001:2016

Read Time:2 Minute, 59 Second

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) ditauliahkan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001:2016 menjadikannya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Sabah yang mendapat pentauliahan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyaksikan penyerahan pensijilan itu kepada MPS pada majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, hari ini.

Beliau turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi MPS 2022-2026 pada majlis yang sama.

Dalam ucapannya, Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan penyelaras dan seluruh kakitangan MPS atas usaha keras untuk mendapatkan pensijilan ini yang beliau percaya bukanlah suatu tugas yang mudah.

“Ini membuktikan dengan muafakat dan kesepakatan yang baik kita sebenarnya mampu mencapai apa yang kita kehendaki. The sky is the limit. MPS sudah berjaya menyahut cabaran Kementerian dengan jayanya dan saya ingin melihat selepas ini akan ada PBT lain yang berjaya mendapatkan pensijilan ABMS ISO 37001:2016 ini.

“Sebenarnya pensijilan ini amat bermakna dan amat relevan dalam bidang kuasa PBT kerana ABMS ISO 37001:2016 ini memainkan peranan bukan sahaja untuk mengelak, mengesan dan bertindak ke atas sebarang kes salah laku rasuah, tetapi juga membantu PBT untuk meningkatkan tahap pengurusan risiko berkaitan dengan perlakuan rasuah.

“Hal ini dapat meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan semua pihak berkepentingan yang berurusan secara terus dengan PBT terutama sekali orang awam. Kami di kementerian amat mengharapkan agar momentum yang telah dimulakan oleh MPS melalui pensijilan ini dapat dikekalkan dan ditambahbaik pelaksanaannya sesuai dengan keperluan piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, piawaian yang ditetapkan dalam mana-mana sistem pengurusan ISO membantu organisasi meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan melalui pelaksanaan proses kerja yang standard demi mencapai matlamat dan objektif.

Menurutnya, pensijilan ini merupakan pengiktirafan terhadap pematuhan piawaian pengurusan antarabangsa dan tempatan, justeru pihak pengurusan dan juga Ahli Majlis perlu memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian yang telah ditetapkan.

“Sekalung penghargaan khusus kepada NIOSH Certification Sdn Bhd kerana usaha gigih dalam memberikan latihan kepada seluruh kakitangan MPS dan di atas persetujuan untuk menyerap sebahagian besar daripada kos pensijilan ini. Ini merupakan satu kerjasama yang amat baik kerana sememangnya dalam mana-mana program, isu kos sering menjadi kekangan.

“Walau bagaimanapun, saya harapkan isu ini tidak menjadi halangan kepada PBT yang lain untuk mendapatkan pensijilan ini kerana kita melihat kelebihan yang bakal kita peroleh melalui pensijilan ini sebenarnya sangat menguntungkan PBT. Tidak dilupakan juga kepada Malaysian Productivity Corporation di atas inisiatif untuk mengesyorkan PBT sebagai pilot projek pensijilan ABMS ISO 37001:2016 dan inisiatif ini terbukti telah membuahkan hasil yang diinginkan,” ujarnya.

Mengenai Pelan Antirasuah Organisasi MPS 2022-2026, Dr. Joachim berkata, beliau melihat ini merupakan satu lagi pencapaian yang perlu diberi penghargaan kerana ini menunjukkan inisiatif serta komitmen MPS dalam memastikan isu salah laku rasuah di kalangan kakitangan sentiasa dapat diurus dengan menggunakan suatu kerangka yang bersepadu dengan melibatkan semua kakitangan termasuk pegawai pengurusan tertinggi.

“Saya berharap agar pelaksanaan pelan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan diterapkan sepenuhnya dalam budaya kerja harian seluruh kakitangan MPS.

“Kita tidak mahu pelan ini dibuat sekadar hanya untuk memenuhi keperluan atau arahan daripada Kerajaan Negeri akan tetapi ianya perlulah dilaksana dengan holistik melibatkan semua pihak berkepentingan yang dikenalpasti dan seterusnya melaksanakan penilaian terhadap status tindakan terhadap setiap program yang telah dirancang,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Mohd Hamsan Awang Supian; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Datuk Dr. Jamili, Stanley Chong dan Faridah Giau; Presiden MPS, Henry Idol , Pengarah dan Pengurus NIOS Sabah Dr. Haji Sharudin dan Fadhil Abu Bakar, Pegawai-Pegawai Eksekutif, Pegawai-pegawai Kanan KKTP dan MPS.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya