Kes Denggi KK: 60% libatkan golongan kanak-kanak sekolah rendah & menengah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Kes denggi yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu pada tahun ini bagi daerah Kota Kinabalu sebanyak 60 peratus melibatkan golongan kanak-kanak termasuk kanak-kanak sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Prabakaran Dhanaraj berkata, pada Minggu Epid 13/2023, sebanyak 30 kes denggi telah dilaporkan di daerah Kota Kinabalu.

“Jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan pada tahun ini adalah 501 kes. Jumlah ini meningkat sebanyak 250 peratus berbanding kumulatif sehingga Minggu Epid 13 tahun 2022 (143 kes).

“Jumlah kumulatif wabak denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epid 13/2023 adalah 54 wabak. Tiada kematian denggi dilaporkan pada tahun ini sehingga Minggu Epid 13/2023 di daerah Kota Kinabalu.

“Dalam kes denggi yang dilaporkan tahun ini, 60 peratus adalah dari golongan kanak-kanak termasuk kanak-kanak sekolah rendah dan sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pelancaran Program 1 School 1 Champion Against Dengue di bawah Program Bebas Denggi Sekolah pada 28 Mac lalu.

Program 1 School 1 Champion Against Dengue di SJKC Che Hwa Kolombong.Foto ihsan Pejabat Kesihatan KK

Program ini adalah kerjasama di antara Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu yang telah berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Che Hwa Kolombong di mana sekolah tersebut telah dipilih menjadi tuan rumah bagi pelancaran program ini.

Menurut Dr Prabakaran, program ini adalah penting untuk melibatkan semua golongan termasuk ibu bapa dan kakitangan sekolah dalam sebarang aktiviti anti-denggi di sekolah.

“Objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan kanak-kanak sekolah kepada aktiviti pencegahan dan kawalan denggi dengan tujuan mewujudkan satu kumpulan
yang menjadi “change agent” kepada masyarakat.

“Selain itu, program ini juga dilaksanakan untuk membina kefahaman dan kemahiran mencegah dan mengawal demam denggi di sekolah,” katanya.

Menurut laporan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, antara wabak denggi hotspot daerah Kota Kinabalu ialah Taman Nelly Phase 4 melibatkan 27 kes selama 26 hari dan Wabak Tak Terkawal di Taman Kuala Menggatal Phase 2 melibatkan 15 kes selama 17 hari.

Program turut dihadiri Ahmad Mohd Akib iaitu Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Bakat, Sektor Pembangunan Murid PPD Kota Kinabalu (menjalankan tugas Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid, PPD Kota Kinabalu) mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.

Antara aktiviti semasa pelancaran ini ialah, ceramah ringkas denggi dan taklimat Program Bebas Denggi, pameran berkaitan denggi, kuiz dan Treasure Hunt anti-dengue agent.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *