HomeUtamaKerjasama BSMM, ICRC mampu penuhi keperluan masyarakat di negeri ini

Kerjasama BSMM, ICRC mampu penuhi keperluan masyarakat di negeri ini

Read Time:2 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah (BSMM) dan International Committee Of The Red Cross (ICRC) mampu untuk membantu kerajaan dalam memenuhi keperluan masyarakat di Sabah pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, kerjasama erat kedua institusi tersebut dengan badan kerajaan memberi banyak manfaat kepada masyarakat.

“Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa BSMM Sabah bekerjasama erat dengan KPMKR, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) bagi program-program kebajikan yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.

“Baru-baru ini saya juga difahamkan BSMM telah membantu MPMS dalam memantau dan memberi bantuan pertolongan cemas kepada pelatih-pelatih pengemis jalanan yang ditempatkan di Pusat Pengasingan Pengemis Bukan Warganegara bermula awal Februari 2023 sehingga ke hari ini.

“Justeru, saya yakin BSMM dan ICRC mampu untuk membantu kerajaan dalam memenuhi keperluan masyarakat di Negeri Sabah bagi tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

James berkata, beliau begitu teruja melihat kerjasama erat di antara BSMM dan ICRC, di mana sejak bertapaknya ICRC di Negeri Sabah pada tahun 2013 pelbagai kerjasama dan sokongan teknikal di antara kedua badan tersebut telah dilaksanakan.

“Beberapa siri latihan seperti Training of Trainers (ToT) for Health & Hygiene dan Core Team Workshop telah dijalankan oleh ICRC bagi persediaan kepada sukarelawan yang terlibat menjalankan program di lapangan.

“BSMM dan ICRC telah menubuhkan satu pasukan ‘Core team’ BSMM Negeri Sabah bagi menyokong Program Pertolongan Cemas Harmonisasi (FATH) di kampung-kampung dan Program Kesihatan dan Kebersihan (H&H) untuk kanak-kanak dan dewasa.

“Apa yang saya harapkan program ini dapat membantu golongan rentan yang memerlukan sebagai komplemen kerja-kerja kerajaan pada hari ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.

Tambah beliau, usaha serta Inisiatif berkenaan dapat meningkatkan kapasiti dan kepakaran sukarelawan khususnya di Negeri Sabah.

James yang juga merupakan Adun Sugut berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran BSMM dan ICRC yang diadakan di Timpohon & Laban Rata Ballroom, Le Meridien Hotel, di sini semalam.

Beliau turut berbangga melihat pencapaian BSMM melalui program derma darah, pengagihan bakul makanan, program vaksinasi dan perkhidmatan ambulans hotspot yang dijalankan dengan kerjasama KKM.

“Selain itu, saya ambil maklum juga bahawa BSMM dan ICRC sangat bekerja keras menempuh pelbagai cabaran, berusaha gigih dengan komitmen penuh bagi menjalankan kerja-kerja kemanusiaan dan bantuan untuk masyarakat.

“Untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap kerja kita bukanlah satu usaha yang mudah, namun kita berharap usaha dan peningkatan strategi untuk BSMM dan ICRC akan menjadikannya berdiri teguh sebagai satu badan yang hebat dan disegani.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memberi sokongan penuh program yang dijalankan oleh BSMM dan ICRC untuk berkhidmat kepada masyarakat di Negeri Sabah,” kata beliau.

James berharap agar dengan usaha dan tekad kerja yang dilakukan oleh BSMM dan ICRC, perpaduan, kerjasama dan khidmat bakti dapat dipertingkatkan lagi untuk pembangunan bersama di masa hadapan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

22 rumah musnah dalam kebakaran di Batu 3 Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya