UMS, IDS jalankan kajian penyelidikan warisan budaya, bangunkan pelancongan Long Pasia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu:  Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institute Development Studies (IDS) Sabah memeterai perjanjian projek perundingan bagi menjalankan kajian ‘Megalithic Stone Heritage Trail Mapping For Tourism Using GIS For Long Pasia’, baru-baru ini.

Projek dalam bidang pelancongan yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Madya Dr. Oliver Valentine Eboy itu bernilai kira-kira RM50,000 dan akan dilaksanakan bagi tempoh 10 bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 31 Januari 2024.

Menurut Oliver, Heritage Trails merupakan salah satu cara yang berkesan untuk memelihara warisan budaya dan ia telah dibangunkan secara meluas sebagai produk pelancongan sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Batu megalitik adalah tradisi kuno dengan fungsi dan latar belakang yang menarik. Pemodenan dan penerapan agama dalam masyarakat telah menyebabkan tradisi batu megalitik kurang diamalkan dan semakin pupus.

“Salah satu cara yang berkesan untuk memelihara batu megalitik daripada terus pupus adalah dengan membangunkan peta jejak warisan batu megalitik sebagai produk pelancongan.

“Dalam kajian ini, pasukan penyelidik kami akan menjalankan tinjauan lokasi batu megalitik dan memperoleh kisah latar belakang setiap batu.

“Aplikasi Analisis Laluan Kos Minimum (LCPA) daripada Sistem Maklumat Geografi (GIS) akan digunakan untuk mengenal pasti laluan yang sesuai bagi menghasilkan peta jejak warisan di Long Pasia untuk tujuan pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Oliver, para pelancong akan diberikan pilihan laluan berdasarkan tahap kesukaran dan jenis batu megalitik yang mereka ingin tahu.

“Di samping itu, manfaat produk pelancongan ini terhadap sosioekonomi penduduk di Long Pasia juga akan dikenal pasti.

“Hasil kajian ini akan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tradisi batu megalitik dan pada masa yang sama meningkatkan ekonomi penduduk tempatan,” tambahnya.

Majlis pertukaran dokumen penjanjian perundingan itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly bersama Ketua Pegawai Penyelidikan IDS, Richard Koh.

Sementara itu Rosalam berharap agar projek perundingan itu dapat mencapai matlamat dan okjektif UMS dan IDS.

Katanya, dalam konteks sebuah negara yang beraspirasi untuk menjadi negara maju, universiti bukan sahaja berperanan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tetapi juga perlu berperanan untuk menghasilkan harta intelek yang bermutu tinggi melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Institute Development Studies (Sabah) terutama Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul yang telah memberikan kerjasama dan membantu penyelidik UMS dalam aktiviti penyelidikan yang akan meningkatkan ekonomi dan sosial di negeri Sabah,” katanya.  – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *