Usaha lahirkan tenaga mahir AI menerusi TVET

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia sedang giat mempersiapkan tenaga mahir dalam penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, latihan yang diberikan akan membolehkan mereka menjadi penggendali dalam sektor-sektor yang menggunapakai AI.

“Kita sedang menyediakan tenaga mahir yang dapat mempelajari AI, seperti yang saya sebut dalam satu kenyataan akhbar, AI tidak akan menggantikan pekerja fizikal kerana kita perlukan penggendali.

“Oleh itu, kementerian melalui latihan TVET sedang melatih pelajar-pelajar kita untuk memahami apa itu AI dan bersedia menjadi penggendali kepada sektor-sektor berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat dan Pelancaran Lagu Tema Parlimen Sepanggar Sempena Aidilfitri 2023, di Suria Inanam, hari ini.

Ditanya mengenai persediaan penggunaan AI khususnya di Sabah, Mustapha berkata, usaha perlu diperhebat bagi meningkatkan tahap kesedaran penggunaanya di negeri ini.

“Di Sabah kita perlu tekankan dengan kesedaran mengenai AI terlebih dahulu, kita agak ke belakang dari segi penggunaan dan pelaksanaannya.

“Walaupun sudah bermula, namun kita perlu sebarkan kesedaran yang lebih meluas ke seluruh negeri.

“Kita juga minta agar majikan dan tenaga kerja kita bersedia untuk menerima perubahan ini, jika tidak, kita akan ketinggalan berbanding yang lain,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Christina Liew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim.

Sambil menzahirkan ucapan tahniah sempena pelancaran Pusat Khidmat Rakyat P.171, Christina berkata, ia penting bagi membolehkan masyarakat menyuarakan sebarang permasalahan yang dialami.

“Ia terbuka kepada semua rakyat, khususnya di Sepanggar, sekiranya ada yang mengalami masalah air, jalan raya dan sebagainya, mereka boleh datang ke sini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *