HomeEkonomi20 usahawan terima pembiayaan bernilai RM7.92 juta daripada agensi KUSKOP

20 usahawan terima pembiayaan bernilai RM7.92 juta daripada agensi KUSKOP

Read Time:3 Minute, 0 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tamparuli: Seramai 20 usahawan dan koperasi di Sabah menerima pembiayaan bernilai RM7.92 juta daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pembiayaan tersebut adalah daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

Kesemua pembiayaan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada Program Karnival Usahawan dan Koperasi Madani, di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, di sini, semalam. 

Selain itu, turut disampaikan dua sijil pendaftaran koperasi daripada SKM dan surat tawaran program daripada SME Bank Berhad kepada tiga penerima geran bagi Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) berjumlah RM143,000 dan satu penerima geran bagi Business Export Program (BEP) berjumlah RM200,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM343,000. 

Ewon juga menyampaikan agihan dividen 2022 kepada KOOP Sahabat Negeri Sabah berjumlah RM462,000 daripada AIM Sabah. 

Beliau berkata, penganjuran Program Usahawan dan Koperasi MADANI Bersempena Pesta Kaamatan bertujuan menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan dan koperasi melalui sesi taklimat serta pameran agensi-agensi di bawah KUSKOP kepada usahawan, koperasi dan komuniti setempat. 

Program yang diadakan selama dua hari iaitu 6 dan 7 Mei ini turut membuka ruang dan peluang kepada usahawan dan koperasi tempatan membuka reruai bagi menjual pelbagai jenis makanan, minuman dan produk PMKS. 

Selain itu, selaras dengan usaha menyahut seruan Kerajaan dalam menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, KUSKOP menerusi SKM mengadakan Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan barangan keperluan asas seperti gula, tepung, minyak masak, produk-produk koperasi serta barangan keperluan yang lain dengan kadar penjimatan sekitar 10 hingga 15 peratus daripada harga pasaran. 

Turut diadakan adalah persembahan Rumah Tradisi Etnik yang mengetengahkan elemen kebudayaan dan warisan dalam menyemai semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum bersempena meraikan Pesta Kaamatan yang bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik sepanjang tahun di Sabah.

“KUSKOP berharap dengan pelaksanaan program kali ini dapat merancakkan semula aktiviti keusahawanan dan koperasi khususnya di Sabah seterusnya meningkatkan daya saing usahawan tempatan. 

“Ini adalah selaras dengan hasrat dan kerangka visi MALAYSIA MADANI di bawah tonggak “kesejahteraan” yang membawa makna keseimbangan atau lebih tepat lagi kehidupan dan segala sisinya yang terangkum dalam keseimbangan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” katanya.

Pada majlis itu Ewon melancarkan melancarkan Program Tunas Usahawan Bumiputera 9.0 (TUBE) dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) peringkat Negeri Sabah bagi tahun 2023. 

Program TUBE bertujuan memupuk semangat keusahawanan dan menggalakkan belia dalam lingkungan usia di antara 18 hingga 30 tahun yang memilih untuk memulakan perniagaan sebagai sebuah kerjaya pilihan selain bertindak sebagai platform bagi mencetus anjakan paradigma daripada seorang pekerja kepada pemilik perniagaan. 

Permohonan secara dalam talian akan dibuka mulai 7 hingga 31 Mei ini dan para belia Sabah diseru untuk merebut peluang yang disediakan melalui pelaksanaan program ini. 

Manakala, Program BEEP pula bertujuan menyediakan bantuan bersepadu kepada Perusahan Mikro, Kecil Sederhana (PMKS) Bumiputera sebagai usaha mencipta perusahaan yang berdaya maju dan berdaya tahan. 

PMKS Bumiputera akan dibantu dalam membina kapasiti syarikat dengan menambah baik pembungkusan produk, pembelian mesin dan peralatan bagi mempertingkatkan kualiti produk serta kecekapan pengeluaran dan melaksanakan kempen pemasaran dan promosi bagi mempertingkatkan jualan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.smecorp.gov.my.

Turut dilancarkan ialah produk pembiayaan baharu daripada Bank Rakyat iaitu Program Pembiayaan BRTani. 

Program pembiayaan khusus ini bertujuan untuk membantu usahawan industri makanan dan pertanian dalam usaha meningkatkan pengeluaran agromakanan negara. 

Produk BRTani ini akan memfokuskan kepada keperluan usahawan yang memerlukan perbelanjaan modal, modal kerja dan pembangunan projek agromakanan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

U Mobile lancar kedai pertama di Sabah, perkukuh kehadirannya di Malaysia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya