PWKK komited beri pendidikan terbaik untuk penghuni muda

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) terus komited memberikan pendidikan yang terbaik khususnya untuk penghuni muda yang tinggal di dalamnya.

Perkara itu dinyatakan salah seorang penghuni PWKK Abby (bukan nama sebenar) dimasukkan ke Sekolah Intergriti PWKK sejak tahun 2019 atas kesalahan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dituduh menjual dadah jenis syabu seberat dua kilogram di sekitar Kota Kinabalu dan pada ketika itu dia baru berusia 17 tahun.

Menurutnya, ada hikmah sebalik semua kejadian apabila dia tertangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. PWKK begitu menitikberatkan pendidikan yang terbaik untuk penghuni-penghuni muda seperti saya pada ketika itu.

“Di tirai besi ini saya banyak belajar menghargai nilai diri saya dan orang lain. Selain diberi pendidikan dalam subjek pembelajaran seperti remaja lain di luar sana, saya juga diberi pendidikan agama dengan baik di sini sekali gus dapat memperbaiki sahsiah diri.

“Antara pencapaian saya selama menjalani kehidupan di sini saya pernah menjadi johan dalam Pertandingan Tazkirah 5 Minit peringkat Sekolah Intergriti Penjara Malaysia Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kategori banduan usia muda yang diadakan pada tahun lalu.

Kini Abby beberapa bulan lagi genap usia 21 tahun ketika ditemui pemberita semasa Program Jati Diri & Rumah Terbuka Kaamatan & Hari Gawai untuk kakitangan dan penghuni PWKK yang berlangsung di Dataran Padang Kawad Penjara Wanita Kota Kinabalu hari ini.

Abby berkata, dia sangat menghargai setiap detik selama menjalani kehidupan di PWKK walaupun merasakan penyesalan tapi redha di atas ketentuan Ilahi.

“Saya sangat menghargai masa kehidupan selama berada di sini, disaat keretakan rumahtangga ibubapa saya, bapa saya meninggalkan kami melalui penceraian sejak kami kecil lagi, dan pada usia 15 tahun ibu kami pula meninggal dunia, saya tiada tempat bergantung pada ketika itu.

“Hanya makcik saya yang sudi menerima saya untuk tinggal bersama-samanya, kegembiraan saya hanya sementara rupanya saya dijadikan alat untuk menjual dadah miliknya di sekitar Kota Kinabalu,” kongsinya sambil berkata, dia tiada pilihan pada ketika itu kerana apa pekerjaan dalam seusia terlalu muda untuk dia lakukan dan merasakan makciknya adalah tempat dia menumpang kasih dan berlindung.

Kehilangan ibubapa di usia muda adalah pengalaman paling pahit buat Abby.

“Saya berasa sedih kerana tazkirah yang saya sampaikan adalah berkisar mengenai menghargai kehidupan dengan menjaga kebajikan ibubapa walaupun saya belum puas merasai kasih sayang ibubapa, saya sudah ditinggalkan dalam usia muda dan kini saya menghabiskan sisa hidup dalam penjara,” katanya.

Abby anak ke-6 daripada tujuh beradik redha dan tahu hukuman yang bakal diterimanya namun dia tidak berputus asa kerana keputusan mahkamah hanya akan diketahui apabila usianya mencecah genap 21 tahun pada tahun ini.

“Saya redha apa juga keputusan mahkamah dan faham akan hukuman yang bakal saya terima sekiranya disabitkan kesalahan.

“Saya juga telah berpesan kepada adik beradik kandung semasa menghubungi mereka melalui panggilan telefon, ada rezeki ataupun tiada rezeki untuk saya dibebaskan, saya minta mereka menjaga nenek kami dengan baik, jangan nakal-nakal dan jaga diri sendiri.

“Dan paling menyakitkan perasaan saya apabila saya bertanya khabar keluarga di kampung, sebenarnya saya terlalu rindu kasih sayang mereka,” ujarnya.

Abby turut meluahkan rasa terima kasih kepada ustazah dan tenaga pengajar di PWKK yang banyak memberikannya sokongan untuk terus bersemangat menjadi insan yang berguna.

“Terima kasih kepada ustazah dan cikgu-cikgu di sini yang banyak mengajar saya tentang erti kehidupan sebenar, tanpa agama kehidupan kita pasti akan terumbang-ambing tiada haluan. Kini saya sedar sebenarnya Tuhan paling sayang saya itu sebab saya diberi ujian ini,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *