HomeIsu tempatanJangan panik, matikan punca kebakaran sekiranya berlaku kebakaran - Johari

Jangan panik, matikan punca kebakaran sekiranya berlaku kebakaran – Johari

Read Time:4 Minute, 13 Second

Laporan Khas Oleh Jabatan Penerangan Sabah

“BERTENANG! Matikan valve gas, cabut kepala gas (gas regulator) dan tutup suis elektrik yang tidak digunakan, sekiranya terbau gas atau pun berlakunya kebakaran dapur!”

Itu nasihat Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Penguasa Kanan Bomba I, Johari Dzulkiflie kepada penulis.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba I, Johari Dzulkiflie.

Menurut Johari, perasaan panik merupakan antara punca kebakaran api kecil boleh merebak dan menyebabkan kemusnahan kepada sesebuah rumah.

“Mangsa dinasihatkan untuk mematikan punca kebakaran dan tidak cemas sekiranya berlaku kebakaran dan pastikan semua ahli keluarga atau mereka yang mendiami rumah keluar dengan segera dan berkumpul di kawasan yang lebih selamat serta bawa bersama dokumen penting.

“Selain itu, setiap rumah juga disarankan untuk mempunyai alat pemadam api jenis ABC yang boleh membantu memadamkan kebakaran kecil dan mengelak daripada merebak ke kawasan lain,” katanya.

Johari (kiri) mendengar penerangan daripada pegawai kimia bahagian berkenaan.

PUNCA KEBAKARAN

Tambah Johari, sepanjang tahun 2022, sebanyak 641 kes kebakaran telah disiasat oleh bahagian berkenaan melibatkan kebakaran struktur bangunan dan kenderaan.

“Sebanyak 489 kes adalah kebakaran jenis struktur dan 152 adalah kebakaran kenderaan di mana punca kebakaran akibat kemalangan (bukan sengaja) adalah 471 kes dan 18 kes adalah sengaja dibakar.

“Kebiasannya, bagi kes-kes sengaja dibakar ini kami akan buat siasatan, dapatkan bukti dan kemudian laporan akan dihantar kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pelaku.

Salah seorang pegawai sedang membuat penyelidikan bahan bukti kebakaran.

“Dari pada 641 kes kebakaran ini, 56 peratus punca kebakaran disebabkan masalah elektrik, peralatan dapur gas sebanyak 25 peratus dan 19 peratus daripada lain-lain punca.

“Kebakaran elektrik secara amnya disebabkan oleh spark atau litar pintas, tiada penyelenggaraan kabel elektrik, pemasangan kabel elektrik dilakukan oleh mereka yang tidak kompeten, penggunaan peralatan rosak, penggunaan tenaga elektrik tanpa pengawasan, tidak mematikan suis peralatan elektrik pada kadar tempoh yang agak lama dan lain-lain lagi.

“Manakala, kebakaran di dapur selalunya disebabkan kelalaian mangsa, lupa atau leka serta tiada pengetahuan dalam tindakan semasa berlakunya kebakaran.

“Antara penyebab utama kepada kebakaran kenderaan adalah pengubahsuaian kenderaan yang berlebihan yang boleh menyebabkan litar pintas,” kata beliau.

Tambah Johari, semasa berlakunya kebakaran atau kebocoran gas, tabung gas tidak akan meletup kerana tabung yang penuh mempunyai tekanan yang stabil kecuali sekiranya tabung berkenaan mengalami bahang api yang melampau, udara dalam tabung mengembang atau terdapat kawasan yang lemah pada tabung ketika waktu itu yang boleh mencetus kepada letupan.

PELAN TINDAKAN KEBAKARAN

Johari turut menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengingatkan ahli keluarga dan rakan setugas mengenai pelan keselamatan sekiranya berlaku kebakaran.

“Kenal pasti lokasi berkumpul sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dan maklumkan kepada ahli keluarga atau rakan setugas yang lain.

“Ketua keluarga atau ketua pejabat juga perlu mengingatkan ahli keluarga dan mereka yang tinggal di dalam rumah atau berada dalam sesebuah premis untuk sentiasa membuat persediaan terutamanya menyediakan beg khas dokumen penting agar ia dapat diselamatkan sekiranya bencana berlaku.

“Bagi memudahkan proses menyelamat diri sendiri atau pihak penyelamat, kami ingin menasihati kepada orang awam yang ingin memasang jeriji supaya menggunakan jeriji yang boleh dan mudah dibuka dari dalam rumah.

“Pastikan juga mangga dan kunci grill kerap diselenggara bagi mengelak daripada berkarat dan sebagainya. Selain itu, anak kunci perlu disangkut berdekatan dengan tingkap atau pintu agar mudah untuk dilihat dan diambil apabila berlaku kebakaran,” tegas Johari.

Nombor Talian Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah

KEMAHIRAN TINGGI

Sementara itu, Ketua Cawangan Penyiasatan Kebakaran Zon 1, JBPM Sabah, Nur Sahidatul Hafizah Selag, menjelaskan bertugas sebagai anggota penyiasat dalam bidang Forensik Kebakaran memerlukan komitmen tinggi dan perlu bersiap siaga sepanjang masa.

Ketua Cawangan Penyiasatan Kebakaran Zon 1, JBPM Sabah, Nur Sahidatul Hafizah Selag.

“Siasatan terperinci mengenai sesuatu kebakaran struktur atau kenderaan perlu dilakukan untuk menentukan punca samada disengajakan atau disebabkan kemalangan.

“Selain kemahiran menjalankan siasatan, pegawai penyiasat juga perlu mahir mempraktik komunikasi berkesan bagi memudahkan pegawai mendapat maklumat daripada saksi kejadian.

“Kami perlu sentiasa bersiap sedia tanpa mengira masa untuk turun ke lapangan sekiranya berlaku sebarang kebakaran di Zon Kota Kinabalu yang melibatkan daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Tuaran.

“Anggota penyiasat kebakaran perlu sentiasa peka dengan persekitaran semasa, antaranya memahami struktur bangunan, menganalisa kesan, corak akibat kebakaran dan sebagainya dalam menentukan punca-punca sebenar kebakaran,” dedahnya.

MEMANTAPKAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN

Nur Shahidatul Hafizah mengakui sebagai pakar forensik kebakaran, seseorang pegawai itu perlu menyertai pelbagai kursus dan latihan demi memantapkan pengetahuan dan kemahiran dalam tugasan.

Antara ahli pasukan Bahagian Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

“Adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk memastikan data dan dapatan maklumat adalah tepat dan sahih untuk dijadikan bahan bukti utama dalam sesuatu kes yang meragukan atau digunakan untuk membuat tuntutan insurans.

“Sebagai pegawai baru, saya perlu menghadiri pelbagai kursus selain sering bertanya dan mendapat tunjuk ajar daripada rakan sekerja dan alhamdulillah kini saya dapat bertugas dengan lebih efektif dan pantas,” tambah beliau.

Nur Shahidatul Hafizah, mula berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam Bahagian Latihan di Ibu Pejabat di Putrajaya sebelum berpindah ke Pejabat Zon Kota Kinabalu, JBPM dan ditempatkan di bahagian Forensik Kebakaran./PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Cubaan tangkap ikan guna bahan letupan berjaya digagalkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular