HomeSukanCifu, Ramon bakal buat penampilan pertama bersama Sabah FC esok

Cifu, Ramon bakal buat penampilan pertama bersama Sabah FC esok

Read Time:1 Minute, 38 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Dua pemain import baharu Sabah FC Miguel Angel Garrido Cifuentes dan Ramon Machado de Macedo bakal diturunkan menentang Kuching City FC di Stadium Likas petang esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun berkata, kelulusan untuk kedua-dua pemain berasal dari Sepanyol dan Brazil itu masih tertakluk kepada Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang dijangka diterima hari ini atau esok.

Katanya, dengan kehadiran Miguel Angel atau lebih dikenali sebagai Cifu dan Ramon mereka sudah tentu akan dapat membantu skuad Badak  mencapai kemenangan ketika beraksi di laman sendiri.

“Pada masa sama kita perlu berikan sedikit masa kepada Cifu dan Ramon untuk mendapatkan persefahaman secukupnya sebelum terus beraksi bersama Sabah FC.

“Pemain-pemain lain sudah bermain bersama-sama pasukan sebelum Liga Malaysia 2023 bermula dan sudah pasti dengan kemasukan Cifu dan Ramon mengambil sedikit masa untuk memahami corak taktikal Sabah FC,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persiapan Sabah menentang Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Likas esok.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, beliau lebih suka untuk memikirkan tentang satu perlawanan ke satu perlawanan yang bakal dihadapi pasukannya berbanding dua atau lebih perlawanan sekali gus.

“Saya tidak ingin mengatakan apa yang perlu kita lakukan pada dua perlawanan jika perlawanan pertama kita gagal untuk mendapatkan objektifnya. Apa yang Sabah FC inginkan adalah untuk mendapatkan keputusan yang positif terutama menentang pasukan Kuching City FC petang esok.

“Kita yakin Sabah FC kini berada dilandasan betul untuk mengharungi baki persaingan liga sekali gus mencapai keputusan positif pada setiap perlawanan,” katanya.

Sabah FC mengikat Cifu yang sebelum ini bermain bersama Kelantan FC dan Ramon yang sebelum ini bermain bersama kelab dalam Liga Perdana Azerbaijan menerusi jendela perpindahan Liga Malaysia 2023 yang bermula 5 Julai hingga 1 Ogos ini.

Cifu yang bermain di posisi sayap, manakala Ramon selaku penyerang disasar untuk memperkuat Sabah FC dalam usaha menambah baik prestasi pasukan sepanjang baki perlawanan Liga Super musim ini.  –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC sasar kemenangan pertama di Kelantan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular