HomeIsu tempatanIPG Gaya catat rekod MBR, laksana Kayuhan Intan 173 jam

IPG Gaya catat rekod MBR, laksana Kayuhan Intan 173 jam

Read Time:5 Minute, 32 Second

Nama Maktab Perguruan Gaya yang bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan rakyat Sabah. Ditubuhkan sejak 4 Julai 1963 sebelum dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru pada Jun 2006, institusi perguruan kedua tertua di Sabah itu telah berjaya melahirkan ramai guru-guru yang berkarisma dan berdedikasi. 

Baru-baru ini, Institut Perguruan Gaya (IPGK) Gaya menjulang namanya dan tercatat dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) menerusi program kayuhan basikal statik tanpa henti selama 173 jam oleh 40 pelajarnya, sekaligus mencipta rekod baharu yang sebelum ini dipegang oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan.

Ia merupakan antara pengisian program bersempena Sambutan Jubli Intan IPGK Gaya Ke-60 Tahun dan diadakan sebagai usaha ke arah meningkatkan kemenjadian pelajar dan bakal guru yang berkualiti. 

Sehati, SeJiwa dan SeGaya    

Pengarah IPGK Gaya, Dr. Gerturude Jock berkata program kayuhan intan MBR itu tercetus hasil dari idea Pensyarah Unit Kokurikulum, Alvin Raj dan antara pelajar yang terlibat ialah pelajar dari Jurusan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Bahasa Inggeris, Pendidikan Melayu dan Sejarah.

“Mereka sentiasa bersama-sama bagi memastikan kejayaan tersebut dapat dicapai dengan jayanya dan syukur juga kepada para penyokong yang terus memberikan sokongan seiring dengan slogan Sehati, SeJiwa dan SeGaya.

“Iltizam dan komitmen serta daya tahan mereka yang terlibat ini juga dapat membuktikan mereka kelak akan menjadi seorang guru yang berjiwa pendidik,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penutupan Program Kayuhan Basikal Statik Tanpa Henti Selama 173 Jam, pada Selasa lepas.

Bakal Guru Kompeten, Beraspirasi Tinggi

Merupakan satu usaha ke arah melahirkan modal insan bakal guru unggul serta melahirkan guru yang kompeten, beraspirasi tinggi serta memberikan komitmen komuniti yang padu dengan menjadi contoh baik kepada yang lain.

Pensyarah Unit Kokurikulum, Alvin Raj merupakan pencetus idea program terbabit menjelaskan program diadakan seiring dengan hasrat Pengarah IPGK Gaya yang mahukan program-program ke arah melahirkan modal insan bakal guru yang berdaya saing menerusi aktiviti yang mencabar dari aspek fizikal dan mental. 

“Program ini juga membantu pelajar-pelajar untuk terus membina jati diri yang kuat dalam menyahut apa jua cabaran yang mendatang serta bersedia dari segi mental dan fizikal. 

“Pelajar turut dapat mengaplikasikan nilai-nilai psikomotor, kognitif dan afektif dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta kemahiran dalam kokurikulum.

“Ia juga selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dan sememangnya akan banyak memberi manfaat kepada pelajar dari aspek ketahanan mental iaitu kawalan, komitmen, cabaran dan keyakinan,” ujarnya.

Sukarela Sahut Cabaran

Dalam pada itu, Alvin juga memaklumkan buat permulaan penyertaan program ini telah dihebahkan dalam perjumpaan bulanan pelajar dan sambutan dari pelajar sememangnya sangat positif sehingga ke hari permulaan masih ramai pelajar ingin beserta program ini. 

“Hampir 300 pelajar telah mendaftar namun walau bagaimanapun hanya 40 peserta terpilih selepas dinilai dari aspek kecergasan peserta bagi memastikan pelajar tersebut benar-benar cergas dari aspek daya tahan otot dan daya tahan kardiovaskular.

“Diharap para pelajar terlibat akan dapat menggunakan segala pengalaman yang diperoleh untuk digunakan apabila mereka berkhidmat di sekolah nanti bagi membantu murid-murid di sekolah untuk menonjolkan bakat mereka terutamanya dalam bidang sukan,” kata Alvin.

Tambah beliau, bagi memecah rekod tersebut, setiap peserta perlu mengayuh basikal secara statik dengan menggunakan cycle trainer selama satu jam tanpa henti dan diganti oleh peserta lain dan seterusnya sehingga selesai 173 jam.

“Para peserta telah memulakan kayuhan basikal secara berganti-ganti setiap satu jam bermula pada 10.00 pagi pada 27 Jun 2023 dan tamat kayuhan tepat jam 3.00 petang pada 4 Julai 2023. 

“Antara cabaran yang dihadapi, semasa program keadaan cuaca semasa hujan dan rasa sejuk pada waktu awal pagi turut menguji daya tahan pelajar namun pelajar-pelajar menggunakan jaket untuk memastikan badan kekal panas.

“Namun hasil dari usaha dan semangat yang ditunjukkan pelajar-pelajar ini menunjukkan bahawa mereka juga kompeten dan beraspirasi tinggi serta mampu menjadi contoh kepada pelajar yang lain,” katanya lagi.

Inspirasi Capai Kejayaan

Bagi salah seorang peserta kayuhan MBR basikal statik, Bernard Leu Ching Yoong, 21, program ini sememangnya boleh dijadikan sebagai inspirasi untuk pelajar-pelajar IPGK Gaya mencapai kejayaan dalam apa jua program dan menanam sifat tidak mudah berputus asa.

“Sebagai seorang bakal guru saya berhasrat untuk menjadi role model kepada bakal pelajar saya nanti dan melalui pengalaman ini ia juga diharap menjadi motivasi kepada bakal pelajar saya.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang berkaitan kerana telah memberi peluang kepada saya dan kawan-kawan untuk memperoleh pengalaman yang amat bernilai ini dan jika diberikan peluang saya dan rakan-rakan sangat dengan berbesar hati untuk menyahut cabaran tersebut sekali lagi,” dedah beliau dengan penuh semangat.

Rintangan Dan Cabaran 

Tambah Bernard, bagi memastikan misi berjaya, latihan seawal tiga bulan sebelum program iaitu dari segi fizikal dan mental telah dibuat untuk bersedia bagi menyahut cabaran ini.

“Cabaran dari segi pengurusan masa yang teratur juga merupakan antara elemen yang penting untuk kami menjayakan program ini, kerana masa untuk penukaran peserta perlu dilakukan dengan teratur dan sistematik.

“Selama satu jam semasa berkayuh, aspek mental adalah penting untuk terus sentiasa fokus dan sokong antara satu sama lain oleh rakan-rakan berbasikal lain sangatlah perlu untuk semua terus kekal bersemangat selama satu jam. 

“Oleh itu, sebagai persediaan saya akan memastikan cukup rehat dan senaman sebelum mengayuh basikal selain menjaga pemakanan yang berkhasiat dan mencukupi,” katanya yang merupakan pelajar semester enam Jurusan Reka Bentuk Teknologi.

Peluang Yang Tidak Dapat Dilepaskan

Sementara itu, bagi Dickson Syed, 21 tahun pula merasa bangga kerana terpilih untuk menyertai program tersebut dan merasakan ini merupakan satu peluang yang tidak dapat dilepaskan.

“Demi menyambut ulang tahun kampus yang ke-60 tahun, kami cuba sedaya upaya untuk memastikan kejayaan tersebut dapat dicapai.

“Walaupun penat dan kurang tidur namun saya dan kawan-kawan merasa sangat gembira kerana telah berjaya menamatkan kayuhan sekaligus memecah rekod tersebut,” ujar Dickson.

Alumni Maktab Perguruan Gaya

Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Alumni Maktab Perguruan Gaya (kini IPGK Gaya), Datuk Isnin Aliasnih yang hadir bagi menyaksikan detik tercapainya rekod tersebut turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian rekod baharu itu.

“IPGK Gaya sememangnya sudah banyak melahirkan insan-insan yang berjaya dan kejayaan itu merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.

“Tahniah terutama kepada pengarah dan seluruh pensyarah yang terlibat atas kejayaan yang dicapai dan diharapkan banyak rekod lain dapat dipecahkan pada masa akan datang,”katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut.

Terdahulu rekod sedia ada bagi kayuhan basikal statik tanpa henti dipegang oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan dengan rekod kayuhan selama 144 jam oleh 100 pelajar bermula dari 1 November 2014 hingga 8 November 2014./Penerangan-

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pesta Kaamatan pemangkin kepada ekonomi masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular