HomePendapatMalaysia MADANI: Mesti Selari Dengan Prinsip ESG

Malaysia MADANI: Mesti Selari Dengan Prinsip ESG

Read Time:6 Minute, 9 Second

oleh — Wan Azrain Adnan

1.        Pada pertengahan Jun 2023, di dalam Trafficking in Persons (TIP) Report 2023 yang di sediakan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, kedudukan Malaysia telah bertambah baik, dengan peningkatan dari taraf Tier 3 ke Tier 2 Watch List. Selama dua tahun – iaitu 2021 dan 2022, Malaysia berada di dalam Tier 3, iaitu tier terendah dalam TIP Report.

2.        TIP Report adalah satu dokumen yang di sediakan setiap tahun oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat. Secara ringkasnya, dokumen ini menilai serta menonjolkan bagaimana negara-negara menangani isu pemerdagangan manusia/ human trafficking dan buruh paksa/ forced labour. Seterusnya, negara-negara di klasifikasikan kepada 4 kategori iaitu – Tier 1, Tier 2, Tier 2 Watch List dan Tier 3.

3.        Taraf Tier 2 Watch List/ Tahap 2 Pemerhatian merujuk kepada negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam memerangi isu  pemerdagangan manusia, tetapi sedang melakukan usaha ke arah itu.

4.        Menurut Menteri Dalam Negeri, Malaysia perlu memenuhi 15 syor penambahbaikan yang di kemukakan di dalam TIP Report 2023, bagi tujuan penilaian tahun 2024 (bermula 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024). Pelaksanaan syor tersebut penting untuk meningkatkan kedudukan negara ke tahap Tier 2.

Ini bermakna Malaysia boleh kembali jatuh ke Tier 3 sekiranya syor penambahbaikan tersebut tidak di laksanakan.

5.        Di dalam Trafficking in Persons (TIP) Report 2021, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menurunkan taraf Malaysia dari Tier 2 ke Tier 3. Ini berikutan daripada isu kesejahteraan pekerja di dalam beberapa sektor ekonomi negara iaitu – perladangan, pembuatan dan pembinaan, yang mengguna-pakai ramai pekerja asing. Isu kesejahteraan pekerja tersebut merangkumi perkara seperti – perumahan pekerja, gaji setimpal dan masa bekerja. Di dalam Trafficking in Persons (TIP) Report 2022, Malaysia kekal pada Tier 3.

6.        Dalam tempoh masa tersebut, Amerika Syarikat telah menyekat import beberapa syarikat Malaysia yang terlibat di dalam sektor perladangan dan pembuatan, iaitu – Top Glove, Sime Darby Plantation dan FGV. Manakala beberapa syarikat lagi turut di siasat oleh Amerika Syarikat, seperti – IOI, Hartalega, Supermax, Smart Glove Corp. Tindakan tersebut di ambil atas dakwaan isu kesejahteraan pekerja, yang juga merupakan komponen penting di bawah prinsip ESG (Environmental, Social & Governance).

7.        Top Glove dan Sime Darby Plantation di laporkan memperuntukkan lebih RM 200 juta sebagai pampasan kepada pekerja asing untuk menyelesaikan isu tersebut. Akhirnya, sekatan import ke atas Top Glove telah di batalkan pada September 2021 dan Sime Darby Plantation pada Februari 2023. Manakala, sekatan import ke atas FGV masih belum di batalkan.

8.        Kini masyarakat global mendokong erat prinsip ESG di dalam semua aspek kehidupan, pekerjaan serta perniagaan. Malah masyarakat global tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila melibatkan isu pematuhan ESG, termasuklah – penamatan kontrak dan sekatan import.

9.        Isu kesejahteraan pekerja sudah lama menghantui Malaysia. Ianya di lihat sebagai satu isu sistemik yang melibatkan salah-laku pelbagai pihak serta peringkat di dalam kerajaan dan juga sektor swasta, merentasi sempadan negara. Kebergantungan tinggi kepada pekerja asing untuk menjana ekonomi negara sudah pasti merumitkan usaha kerajaan untuk menghalang eksploitasi pekerja. Justeru itu, isu ini terus berlarutan tahun demi tahun, tanpa penyelesaian menyeluruh.

10.      Pada Februari 2023, beberapa bulan selepas di lantik menerajui kepimpinan negara, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan konsep Malaysia MADANI. Menurut laman sesawang Malaysia MADANI: Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa di tambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

11.      Konsep Malaysia MADANI di bina di atas enam (6) nilai teras:

  • Kemampanan: Mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan
  • Kesejahteraan: Kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan
  • Daya Cipta: Pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia
  • Hormat: Perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia
  • Keyakinan: Menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan
  • Ihsan: Belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan

12.      Maka konsep Malaysia MADANI wajar di terjemahkan segera kepada dasar serta undang-undang yang selari dengan prinsip ESG yang di pegang oleh masyarakat global. Ianya mesti menekankan dua perkara utama, iaitu hubungan manusia – manusia dan manusia – alam sekitar. Kerajaan Malaysia perlu menyediakan bantuan serta insentif yang sesuai agar syarikat Malaysia dapat menambah-baik amalan ESG, seterusnya meningkatkan kecekapan pengurusan dan daya-saing. Pelbagai laporan serta kaji-selidik telah menunjukkan bahawa organisasi yang mengamalkan prinsip ESG memiliki daya-tahan serta daya-saing yang lebih utuh dan mampan.

13.      Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia mesti tegas untuk memastikan organisasi di Malaysia menepati amalan ESG. Keupayaan penguatkuasaan wajar di tingkatkan agar undang-undang yang di gubal dapat di laksanakan secara efektif, dan bukannya menjadi sia-sia – umpama mencangkul angin. Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang mestilah di hukum dengan seberatnya. Sebagai contoh. Apakah tindakan yang di ambil oleh Kerajaan Malaysia terhadap syarikat-syarikat yang telah di senarai hitam oleh Amerika Syarikat, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti FGV?

14.      Kerakusan segelintir kecil pihak yang mementingkan keuntungan semata-semata boleh membawa padah kepada seluruh rakyat dan negara. Ini telah pun terjadi seperti isu Trafficking in Persons (TIP) Report tersebut yang menyebabkan negara di turunkan taraf. Dan ianya boleh terjadi lagi jika pematuhan amalan ESG tidak di pantau dengan teliti.

15.      Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

16.      Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) menyatakan bahawa reputasi syarikat pengeksport Malaysia telah tercemar apabila Malaysia di turunkan ke taraf Tier 3, walaupun isu pekerja yang di timbulkan di dalam Trafficking in Persons (TIP) Report berkenaan bukanlah meluas serta merentasi semua industri dan syarikat di Malaysia.

17.      Menurut beliau, kenaikan taraf Malaysia tersebut akan dapat membuka akses lebih baik untuk syarikat Malaysia ke pasaran global. Manakala Malaysia pula kini berada di dalam keadaan yang lebih baik untuk menerokai Perjanjian Perdagangan Bebas/ Free Trade Agreement (FTA) dengan negara rakan dagangan, di mana peruntukkan kesejahteraan pekerja amatlah di titik-beratkan.

18.      Malaysia ialah sebuah negara dagangan/ trading nation. Pada tahun 2022, nilai eksport negara adalah RM 1.552 trillion. Pasaran eksport utama negara termasuklah – ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun. Manakala import pula bernilai RM 1.297 trillion, mencatatkan rekod terbaru dengan melepasi aras RM 1 trillion untuk pertama kali.

19.      Maka sekiranya amalan ESG tidak di tepati, Malaysia berisiko untuk ‘di ketepikan’ di dalam rantaian bekalan serta pasaran global. Akhirnya, syarikat Malaysia akan mengalami kerugian, ekonomi negara akan terjejas dan rakyat akan menderita.

20.      We have a lot to lose! But we also have a lot to gain if we subscribe to ESG principles and best practices.         

21.      Adakah Malaysia MADANI dapat meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mendokong prinsip ESG? Time will tell…

Oleh:

RELATED ARTICLES
Pendapat

Rakyat tidak ‘bahagia’, pelbagai isu dan cabaran jejas kesejahteraan hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular