HomePendapatPembangunan industri padi beri impak besar kepada ekonomi rakyat Sabah.

Pembangunan industri padi beri impak besar kepada ekonomi rakyat Sabah.

Read Time:5 Minute, 5 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN
11 Ogos 2023

1.         Pada akhir Julai 2023, Ketua Menteri Sabah telah menyatakan bahawa Lembaga Padi Sabah bakal di wujudkan semula untuk menerajui pembangunan industri padi di Sabah. Pembangunan industri padi adalah antara fokus utama di bawah Rancangan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ke-3.

2.         Penubuhan Lembaga Padi Sabah di sasarkan dapat meningkatkan kadar Tahap Sara Diri/ Self-Sufficient Level (SSL) beras Sabah kepada 60% menjelang tahun 2030. Ketika ini, kadar SSL beras Sabah hanyalah 22%. Ini bermakna industri padi di Sabah hanya dapat memenuhi 22% permintaan tempatan, dan selebihnya terpaksa di import (78%).

3.         Kadar SSL beras Sabah ini adalah yang terendah sejak 1980-an. Ketika itu, SSL beras Sabah berada pada tahap 51%, iaitu kadar tertinggi Sabah. Namun begitu, kadar SSL beras Sabah telah menunjukkan trend menurun: 27% (1990), 34% (2000), 41% (2004), 24% (2010), 27% (2019).

4.         Penurunan SSL beras tersebut selari dengan penurunan hasil pengeluaran padi Sabah. Dalam tempoh masa 2018 – 2021, pengeluaran padi telah menurun dari 77,099 tan (2018) kepada 70,407 tan (2021).

Ini merupakan penurunan sebanyak 9% (6,692 tan).

5.         Pengeluaran padi yang merosot tersebut pula di sebabkan oleh keluasan kawasan padi yang mengecil. Menurut data Jabatan Pertanian Sabah, jumlah keluasan kawasan padi di Sabah telah menurun: 44,634 hektar (2018), 39,166 hektar (2019), 39,426 hektar (2020), 38,205 hektar (2021).

Ini bermakna dalam tempoh empat tahun 2018 – 2021, jumlah keluasan padi di Sabah telah mengecil sebanyak 14% (6,429 hektar).

6.         Maka, tidaklah mengejutkan apabila data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah import beras Sabah yang besar. Dalam tempoh masa 2018 – 2021, import beras Sabah juga telah menunjukkan peningkatan: 258,490 tan, RM 466 juta (2018), 190,558 tan, RM 328 juta (2019), 244,748 tan, RM 477 juta (2020), 261,672 tan, RM 534 juta (2021).

Data menunjukkan peningkatan import sebanyak 1% (3,182 tan) dan 15% (RM 68 juta).

7.         Pada masa yang sama, import makanan Sabah merupakan import ke-dua terbesar pada tahun 2022, berjumlah RM 6.4 billion, iaitu 15.7% dari jumlah keseluruhan import Sabah. Malah, data menunjukkan import makanan Sabah telah meningkat sebanyak 19.6% dari tahun 2021.

8.         Justeru itu, penubuhan Lembaga Padi Sabah adalah tepat masanya untuk meningkatkan SSL beras dan seterusnya mengurangkan kebergantungan tinggi kepada beras import. Ianya juga mampu meningkatkan tahap sosio-ekonomi petani padi yang telah lama sengsara dengan kemiskinan, dan wajar mendapat pembelaan segera. They have suffered long enough!

9.         Pembangunan industri padi Sabah wajar di teliti serta di laksanakan secara menyeluruh agar dapat memberi impak yang tinggi. Pelaksanaan secara sedikit-sedikit/ piecemeal tidak akan berkesan dan akan mengambil masa yang lama untuk mencapai sasaran yang di kehendaki.

Ianya mesti berlandaskan kepada dua perkara utama iaitu – meningkatkan hasil tanaman/ yield padi dan meningkatkan keluasan sawah padi di Sabah.

10.       Pada Mei 2023, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan bahawa FELCRA akan membangunkan estet padi seluas 6,000 hektar di Sabah. Ini adalah tindakan awal yang baik untuk melonjakkan pembangunan industri padi di Sabah. Penanaman padi secara estet boleh memberi pelbagai manfaat ekonomi berskala/ economies of scale seperti – pengurusan yang lebih cekap dan mengoptimumkan kos operasi. Sudah sekian lama penanaman padi secara kecilan dengan saiz sawah padi yang tidak ekonomikal tidak dapat memberi pulangan yang sewajarnya.

11.       Manakala, untuk meningkatkan hasil tanaman/ yield padi, Lembaga Padi Sabah wajar melaksanakan Model Pertanian Pintar yang berteraskan penggunaan teknologi terkini, seperti – dron, Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) serta robotik. Model Pertanian Pintar, yang melibatkan automasi dan analisa data operasi, sudah di laksanakan di banyak negara dan terbukti dapat memberi nilai-tambah kepada pengurusan serta operasi pertanian.

12.       Ini termasuklah – meningkatkan produktiviti kerja, mengurangkan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia, mengoptimumkan penggunaan racun dan air, membantu kelestarian alam sekitar dengan menghadkan pencemaran sumber air.

13.       Tambahan lagi, Lembaga Padi Sabah mesti menerapkan Amalan Pertanian Baik/ Good Agricultural Practices (GAP) dan prinsip ESG (Environmental, Social, Governance) di dalam industri padi Sabah. Ini dapat membina industri padi yang mapan dan berdaya-saing.

14.       Sasaran SSL beras 60% dari 22% dalam tempoh 7 tahun bukanlah sesuatu yang mudah untuk di capai. Banyak faktor dalaman dan luaran yang akan mempengaruhi pencapaian sasaran tersebut. Isu legasi seperti bekalan air dan infrastruktur pengairan yang usang adalah antara isu utama yang terus menghantui industri padi Sabah.

15.       Malah, ketika ini industri padi Sabah juga menghadapi kekurangan jentera untuk membajak dan menuai padi, melibatkan 24,013 hektar sawah padi. Untuk mengusahakan sawah padi tersebut, kira-kira 480 jentera membajak dan 240 jentera penuaian di perlukan. Namun begitu, hanya 211 (44%) jentera membajak dan 143 (60%) jentera penuaian beroperasi secara aktif.

16.       Pada Julai 2022, Timbalan Ketua Menteri Sabah telah menyatakan bahawa Sabah memerlukan dana RM 10 billion untuk pembangunan industri padi. Dana yang besar ini di perlukan untuk pelbagai perkara, termasuklah – infrastruktur pengairan dan saliran, subsidi baja, input pertanian dan jentera.

Adakah Kerajaan Sabah mahupun Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan dana tersebut? Jika tidak, sasaran SSL beras tersebut akan terus kekal sebagai impian.

17.       Kejayaan usaha pembangunan industri padi ini mampu memberi impak yang besar kepada ekonomi serta rakyat Sabah. Agenda keselamatan makanan/ food security Sabah dapat di perkukuhkan. Para petani padi boleh mendapat pendapatan yang lebih lumayan serta kualiti hidup yang lebih sempurna. Generasi muda juga boleh melibatkan diri sebagai usahawan tani moden.

18.       Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek infrastruktur air dilancar, tingkatkan kualiti dan ketersediaan bekalan air

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular