HomeSukanKolaborasi KBSS,YAKEB mampu perkasa kebajikan bekas atlet Sabah

Kolaborasi KBSS,YAKEB mampu perkasa kebajikan bekas atlet Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Kebajikan bekas atlet Sabah akan terus diperkasa dengan adanya kolaborasi erat di antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, kerjasama itu akan memastikan bantuan atau dana yang diberikan dapat terus disalurkan kepada bekas atlet Sabah.

“Justeru saya menyeru agar bekas-bekas atlet di negeri ini untuk mendaftarkan diri dalam YAKEB kerana pelbagai bentuk bantuan disalurkan oleh yayasan ini.

“Selain bantuan, YAKEB juga turut melaksanakan program yang sudah tentu bermanfaat terutama dalam meningkatkan lagi kebajikan ahli-ahlinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program YAKEB Turun Padang 3.0 Negeri Sabah di sini semalam.

Ellron berkata, para atlet turut digesa untuk terus memperkasa diri dengan pelbagai kemahiran agar dapat dimanfaatkan dan dijadikan mata pencarian selepas bersara.

Ini kerana katanya, terdapat segelintir atlet yang dilihat tidak menghiraukan masa depan selepas bersara selain belum bersedia untuk bersara dalam arena sukan.

“Peranan dan fungsi YAKEB amat penting terutama sekali dalam memperjuangkan kebajikan bekas atlet negara, yayasan ini juga wajar disokong memandangkan bekas-bekas atlet kita sememangnya mencurahkan pengorbanan besar dalam melonjakkan nama negara kita dalam arena sukan.

“Inilah fungsi YAKEB yang ramai tidak menyedari bahawa yayasan ini mempunyai usaha yang murni dalam membantu bekas atlet kebangsaan untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna sebaik sahaja bersara,” katanya.

 Difahamkan Program YAKEB Turun Padang 3.0 Negeri Sabah ini merupakan siri jelajah pertamanya dalam tahun 2023, sebelum dilaksanakan ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

Setakat ini YAKEB yang dipengerusikan Dato’Dr Noorul Ariffin Abdul Majeed mempunyai keahlian seramai 2,998 orang dan negeri Sabah mempunyai keahlian seramai 92 orang.

Terdahulu dalam program itu, YAKEB sempat menyumbangkan lima buah kerusi roda iaitu tiga buah kepada Hospital Queen Elizabeth 1 dan dua buah lagi kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Sabah.

Selain itu, pihak YAKEB turut memberikan sumbangan berbentuk tunai kepada dua individu yang juga bekas atlet Sabah iaitu Justine Sompong bekas atlet Bina Badan dan Haswadi Moliadi masing-masing menerima tunai RM500.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

VAR tidak berfungsi musnahkan impian skuad Badak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular