HomeUtamaPengerusi FAMA tidak faham akan Akta FAMA kata Ronald Kiandee

Pengerusi FAMA tidak faham akan Akta FAMA kata Ronald Kiandee

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli tidak memahami peranan agensi itu dalam mengedar beras putih tempatan jelas Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Katanya Aminuddin dalam kenyataan medianya pada 6 Oktober lalu mengakui bahawa beras bukan bidang kuasa pemasaran FAMA tetapi tetap menyatakan bahawa tindakan FAMA mengedarkan beras putih tempatan adalah sah disebabkan arahan yang diberikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ronald yang juga Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Pertanian Perikatan Nasional (PN) itu berkata jelas kenyataan ini mencerminkan bahawa Pengerusi FAMA tidak faham akan Akta FAMA.

Katanya FAMA ditubuhkan di bawah Akta Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 [Akta 141].

Menurutnya secara mudahnya, Akta 141 jelas memperuntukan dalam seksyen 2 tafsiran bahawa FAMA boleh memasarkan apa-apa agricultural produce [keluaran pertanian] kecuali nanas, getah, minyak kelapa sawit, padi, beras dan tembakau.

“Pada 2022 Kerajaan PN telah meminda seksyen 2 ini dengan memberikan kuasa kepada FAMA untuk mengedarkan haiwan, karkas dan penghasilan daripada haiwan itu.

“Pindaan ini dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen sebelum ia berkuat kuasa pada 1 Ogos 2023. Pindaan ini diperlukan bagi membolehkan FAMA melaksanakan tugasnya di bawah kuasa undang-undang yang sah dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan penggunaan wang rakyat dalam operasi FAMA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ronald yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata dalam Akta 141, kuasa untuk Menteri Pertanian memberikan arahan kepada FAMA ada dinyatakan dalam subseksyen 3(4) yang dinyatakan seperti berikut:

“(4) Menteri boleh memberi kepada Pihak Berkuasa arahan yang bersifat umum, tidak bercanggah dengan Akta ini, tentang penjalanan fungsi Pihak Berkuasa (The Minister may give to the Authority directions of a general nature, not inconsistent with this Act, as to the exercise of the functions of the Authority.

“Adalah jelas bahawa arahan yang diberikan oleh Menteri kepada FAMA tidak boleh melanggar peruntukan Akta 141. Oleh yang demikian, FAMA tidak boleh memasarkan atau mengedarkan beras dan menteri tidak boleh mengarahkan FAMA untuk mengedarkan beras kerana Akta 141 tidak membenarkan FAMA berbuat demikian,” jelasnya.

Beliau berkata sekiranya benar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengarahkan FAMA untuk mengedarkan beras, maka arahan Menteri itu telah melanggar Akta 141.

“Adalah amat dikesali bahawa seorang Menteri dan seorang Pengerusi suatu badan berkanun tidak memahami akta sendiri.

“Tindakan melanggar Akta 141 ini perlu dilihat sebagai tindakan sebuah Kerajaan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan jika dibiarkan berterusan kita tidak tahu manakah akta lain yang akan terus dilanggar oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” jelas Ronald lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah FC juara Piala SMJ 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya