HomeUtamaSabah catat 8,818 kes kanser dalam tempoh 2012 - 2016

Sabah catat 8,818 kes kanser dalam tempoh 2012 – 2016

Read Time:2 Minute, 25 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Menurut Pendaftaran Kanser Sabah 2012 hingga 2016, sebanyak 8,818 kes kanser dilaporkan di negeri ini sepanjang tempoh ini, kata Ketua Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi Kebangsaan, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam.

Katanya, kadar insiden piawaian umur adalah 94.8 untuk lelaki, dan 111.1 untuk wanita bagi setiap 100, 000 penduduk.

Dr. Ros Suzanna berkata, Kota Kinabalu melaporkan jumlah kes kanser tertinggi, diikuti Sandakan dan Tawau.

“Hospital di tiga daerah tersebut menerima rujukan pesakit kanser iaitu lima kanser yang paling biasa dilaporkan ialah kanser payudara, kolorektal dan paru-paru, limfoma dan kanser serviks.

“Bagi lelaki, kanser yang paling biasa dilaporkan ialah kanser kolorektal, diikuti oleh kanser paru-paru dan prostat, manakala pada wanita, kanser payudara, serviks dan kolorektal paling kerap dilaporkan. Kebanyakan kes kanser dikesan pada peringkat akhir, dengan sehingga 66.6% pesakit hadir pada Peringkat III dan IV,” katanya semasa menyampaikan ucapan mewakili Menteri Kesihatan Malaysia di Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Onkologi Malaysia Ke-34 2023 (ASCOMOS 2023) di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Dr Ros Suzanna berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia komited ke arah menyediakan sokongan untuk memastikan penjagaan kanser berkualiti tinggi diberikan kepada pesakit di Sabah, dan pesakit berpeluang menerima penjagaan dan pengurusan yang terbaik di dalam negeri.

“Ini termasuk infrastruktur dan peralatan yang mencukupi, kewangan dan sumber manusia, serta peluang untuk penyelidikan dan latihan untuk doktor dan profesional kesihatan bersekutu yang terlibat dalam penjagaan dan rawatan kanser.

“Sabah mempunyai kawasan geografi yang luas yang menjangkau lebih daripada 73, 000 kilometer persegi. Terdapat 24 hospital Kerajaan dan lapan hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada penduduk Sabah.

“Di sektor awam, pusat kanser wilayah yang menyediakan perkhidmatan Onkologi untuk Negeri Sabah terletak di Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, atau HWKKS,” katanya.

Tambah beliau, Hospital Pakar KPJ Sabah dan Hospital Gleneagles Kota Kinabalu adalah dua pusat swasta di Sabah yang menyediakan perkhidmatan Onkologi. HWKKS dan KPJ Sabah menyediakan perkhidmatan radioterapi.

“Selain itu, beberapa hospital Kerajaan di luar Kota Kinabalu iaitu Hospital Tawau, Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Hospital Lahad Datu, Hospital Labuan dan Hospital Keningau turut menyediakan beberapa perkhidmatan Onkologi.

“Disamping itu, Jabatan Kesihatan Awam kami juga memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pengesanan awal kanser,” ujarnya.

Mengenai ASCOMOS 2023, Dr Ros Suzanna berkata, kongress ini menawarkan pelbagai topik yang melibatkan berbilang tapak tumor, dan kemas kini penjagaan kanser terkini. Ini amat penting apabila rawatan kanser berkembang pesat, dan melibatkan perubatan ketepatan dan penjagaan peribadi yang merangkumi penggunaan ubat-ubatan baru dan terapi yang disasarkan.

“Saya yakin kongres itu akan memberi manfaat kepada semua peserta di sini, yang terdiri daripada pakar, doktor dan profesional kesihatan bersekutu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan Onkologi, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh Malaysia, baik di sektor awam mahupun swasta,” katanya.

ASCOMOS 2023 berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Oktober ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular