HomeIsu tempatanUMS, YFR bangunkan penyelidikan perladangan kelapa sawit di Keningau

UMS, YFR bangunkan penyelidikan perladangan kelapa sawit di Keningau

Read Time:1 Minute, 57 Second

Keningau : Pusat Pengurusan EcoFarm (EcoFarm), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bangunkan bidang penyelidikan dan pembelajaran berkaitan perladangan kelapa sawit bersepadu di Keningau.

Majlis pelancaran kerjasama antara UMS dan Yun Fook Resources (YFR) berlangsung di Pusat Penyelidikan Makanan ternakan (PPMT) Kampung Apin-Apin Keningau, yang juga dikenali sebagai AFEEDRI.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Mansor berkata, pelancaran tersebut merupakan kesinambungan daripada kerjasama yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak sewaktu lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UMS pada bulan Jun yang lalu.

“Pelancaran ini merupakan titik permulaan kepada kerja-kerja di lapangan bagi projek berkenaan, yang mana kawasan perladangan kelapa sawit bersepadu telah dibersihkan dan akan ditanam dengan pokok kelapa sawit, sesuai dengan penyelidikan yang dipersetujui dalam memorandum perjanjian.

“Tanaman lain yang akan disepadukan dengan tanaman kelapa sawit adalah seperti durian, nangka, avokado dan tanaman jangka pendek seperti tembikai untuk menambah nilai ekonomi ladang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, pelbagai perkara termasuk kesesuaian tanaman dengan keadaan cerun dan nutrien tanah, sumber air dan saliran telah dipertimbangkan oleh penyelidik UMS.

Katanya, bekalan air disalurkan menggunakan teknik fertigasi pintar ke kawasan yang agak kering untuk membolehkan tanaman berkenaan tumbuh dan mengeluarkan hasil menepati keperluan industri.

“Ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan penggunaan teknologi dalam memantapkan industri pertanian,” katanya.

Pengarah EcoFarm, Ts. Dr. Januarius Gobilik turut menjelaskan bahawa projek penanaman kelapa sawit bersepadu seluas 33 ekar itu dijangka akan selesai pada Oktober tahun ini.

“Penyelidikan dan pembelajaran yang berkaitan akan dijalankan selari dengan kemajuan projek tersebut.

“Selain projek perladangan kelapa sawit bersepadu, projek lain di tanah UMS, Kg. Apin-Apin adalah perladangan kelapa (pandan dan tacunan) bersepadu yang dijalankan oleh UMS bersama Malaysian Kuwaiti Investment Corp. Sdn. Bhd. (MKIC). Kerja pembukaan tanah bagi projek MKIC sudah bermula dan pelancaran dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Oktober,”katanya.

Selain daripada projek pembangunan tanah di Kg. Apin-Apin, Ecofarm UMS juga sedang dalam usaha memajukan kawasan tanah UMS di Mesilou, Kundasang sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi.  

Turut hadir pada pelancaran tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Pengarah Pusat Penyelidikan UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman serta Dekan Fakulti Pertanian Lestari, Profesor Madya Dr. Azwan Awang.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Charles, Jessie dan Ain juara Sugandoi Kaamatan Bandaraya KK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular