HomeLuar negaraMalaysia Tegas Mahu Israel Henti Pencabulan Hak Rakyat Palestin, Undang-undang Antarabangsa

Malaysia Tegas Mahu Israel Henti Pencabulan Hak Rakyat Palestin, Undang-undang Antarabangsa

Read Time:2 Minute, 46 Second

KUALA LUMPUR: Israel mesti terlebih dahulu berhenti daripada terus mencabuli undang-undang antarabangsa serta setiap elemen teras dalam hak rakyat Palestin untuk menubuhkan tanahair sendiri, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda pada Khamis (waktu tempatan), Mohamad berkata Israel mesti menghentikan semua “dasar dan amalan” berkaitan dan serta-merta berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Kedua, beliau berkata Israel wajib berjanji dan memberikan jaminan untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

“Dan ketiga, Israel dipertanggungjawabkan untuk menawarkan pemulihan penuh supaya keadaan kembali kepada asal. Ini bermakna ia mesti benar-benar melaksana dan melakukan pindaan perundangan, termasuk menghapuskan atau menarik balik semua langkah perundangan yang bertentangan dan peraturan yang diluluskan sebelum ini bagi kawasan OPT,” katanya.

Mohamad berkata Israel perlu menawarkan pampasan bagi segala bentuk kemusnahan material dan moral yang berpunca daripada pencabulan hak rakyat Palestin, meskipun pada hakikatnya pampasan itu tidak dapat benar-benar memulihkan sepenuhnya keadaan.

Lebih 50 negara membentangkan hujah mereka mengenai akibat perundangan berhubung pendudukan Israel di Palestin pada sesi pendengaran awam itu yang bermula Isnin.

Mohamad memulakan pembentangannya dengan membicara secara ringkas bidang kuasa dan budi bicara Mahkamah bagi memenuhi permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), disusuli pendirian Malaysia berkaitan kesahihan “dasar dan tindakan” Israel di OPT.

Di akhir pembentangan itu, beliau menggariskan mengenai kesan perundangan yang timbul ke atas Israel, negara-negara lain dan PBB, disebabkan pencabulan Israel secara terang-terangan terhadap hak rakyat Palestin.

Hujahan Malaysia menegaskan bahawa “dasar dan tindakan” Israel hanyalah untuk menguasai Wilayah Diduduki (OPT), kaedah untuk menguatkuasakan pendudukannya.

Hujahan itu juga menyenaraikan empat elemen substantif utama hak untuk menubuhkan negara sendiri bagi rakyat Palestin – hak terhadap integriti wilayah, hak terhadap kesatuan wilayah dan perlindungan terhadap integritinya, hak terhadap kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber semulajadi, dan kebebasan untuk menikmati pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya.

Beliau menegaskan, kesan dan akibat perundangan ke atas Israel yang mencabuli Palestin pada prinsipnya adalah setara dengan apa juga akibat yang terpaksa dihadapi oleh mana-mana negara lain yang melanggar undang-undang antarabangsa sekecil mana pun.

Semua negara mesti bekerjasama untuk menamatkan menerusi kaedah perundangan pencabulan hak rakyat Palestin dalam menubuhkan negara sendiri dan diikuti menamatkan pendudukan wilayah itu oleh Israel, katanya.

Seterusnya, semua negara seharusnya tidak mengiktiraf pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin, katanya.

Akhirnya beliau berkata semua negara tidak sepatutnya menghulurkan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan kepada Israel dalam usahanya menidakkan hak Palestin.

Malaysia juga menegaskan mengenai kewajipan semua negara dunia untuk terus menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin dan sebaliknya menghentikan sebarang bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Israel.

“Bagi kesan perundangan yang timbul dalam konteks PBB, ia tidak lain daripada tanggungjawabnya untuk melaksanakan kewajipan hakikinya terhadap isu Palestin, termasuk dalam memastikan UNRWA dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya.

Mohamad berkata PBB mesti terus menjadi forum kerjasama bagi membolehkan negara-negara melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menamatkan pencabulan hak dan pendudukan wilayah Palestin.

Menteri Luar itu mengetuai delegasi Malaysia di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Pendapat Nasihat merupakan satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 5,000 pengunjung meriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kewangan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya