HomePendapatIsu LTAT : Penghargaan Kepada Warga Perwira Atau Sebaliknya

Isu LTAT : Penghargaan Kepada Warga Perwira Atau Sebaliknya

Read Time:7 Minute, 37 Second

oleh Wan Azrain Adnan

1.      Beberapa hari lepas, Ketua Audit Negara telah mengumumkan Laporan Ketua Audit Negara: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022. Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2022) tersebut adalah pengauditan yang telah di laksanakan oleh Jabatan Ketua Audit Negara pada tahun 2023, terhadap Penyata Kewangan Agensi Persekutuan, untuk Penyata Kewangan tahun 2022.

2.      Pengauditan tersebut di laksanakan untuk memastikan samada Penyata Kewangan yang di sediakan oleh agensi terbabit menunjukkan kedudukan kewangan yang benar dan saksama, serta samada rekod perakaunan telah di selenggarakan dengan teratur dan kemaskini.

3.      Secara keseluruhan, pengauditan tersebut membabitkan 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan, terdiri daripada 134 Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan dan 10 Penyata Kewangan Kumpulan Wang Persekutuan. Setakat Januari 2024, sejumlah 130 Penyata Kewangan telah selesai di audit. Ini termasuklah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

4.      LKAN 2022 tersebut telah melaporkan tiga isu utama berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT):

Penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari

  • Pada tahun 2022, LTAT telah membuat pelaburan sejumlah RM 2.550 billion dalam Boustead Holdings Berhad dan RM 106 juta dalam Pharmaniaga Berhad. Namun begitu, pada 31 Disember 2022, Nilai Aset Ketara Bersih bagi pelaburan tersebut telah merosot.
  • Nilai pasaran bagi pelaburan berkenaan di dalam Boustead Holdings adalah RM RM1.783 billion, merosot sebanyak 30% (RM 768 juta). Manakala, nilai pasaran bagi pelaburan di dalam Pharmaniaga pula adalah RM 62 juta, merosot sebanyak 41.5% (RM 44 juta).
  • Dalam bahasa mudah, LTAT telah mengalami kerugian atas kertas/ paper loss berjumlah RM 812 juta untuk dua pelaburan berkenaan.
  • LKAN 2022 mendapati LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap kemerosotan pelaburan di dalam kedua-dua syarikat tersebut. Oleh yang demikian, kegagalan itu telah menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM 812 juta.

Pembayaran dividen kepada pencarum

  • Pada tahun 2022, LTAT telah menjual saham Perumahan Kinrara Berhad dan Tanah Sutera Development Sdn Bhd kepada Perbadanan Perwira Harta Sdn Bhd (PPHSB), yang di bayar dengan balasan saham PPHSB yang bernilai RM 232 juta.
  • Daripada transaksi penjualan berkenaan, LTAT telah mencatatkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM 189 juta.
  • Dalam erti kata lain, keuntungan bukan tunai berkenaan adalah keuntungan atas kertas/ paper profit yang di raih bukan dari operasi perniagaan semasa/ ordinary business operations.
  • Tambahan lagi, penjualan berkenaan adalah umpama transaksi ‘keluar poket kiri, masuk poket kanan’ kerana Perbadanan Perwira Harta Sdn Bhd (PPHSB) merupakan sebuah syarikat subsidiari di bawah Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM), iaitu sebuah organisasi milik penuh LTAT.
  • LKAN 2022 mendapati LTAT telah menggunakan keuntungan bukan tunai tersebut sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum iaitu warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
  • Malah untuk tahun kewangan 2021, Ketua Audit Negara telah membangkitkan isu serupa, yang melibatkan keuntungan bukan tunai berjumlah RM 224 juta.

Rizab berbaki negatif

  • Sejak tahun 2020, LTAT telah merekodkan rizab negatif: RM 376 juta (2020), RM 285 juta (2021), RM 338 juta (2022).
    • Sehingga 31 Disember 2022, masih terdapat 41 portfolio saham lama milik LTAT yang masih belum di ambil tindakan, dengan kerugian tidak nyata berjumlah RM 662 juta, yang menyumbang kepada rizab berbaki negatif.

    5.      Justeru itu, LKAN 2022 berpendapat bahawa isu-isu tersebut, iaitu – kegagalan membuat penjejasan nilai pelaburan, pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai dan rizab berbaki negatif, boleh menyebabkan LTAT menghadapi risiko kecairan tunai pada masa hadapan.

    6.      Maka, LKAN 2022 telah mencadangkan agar LTAT:

    • memastikan asas pembayaran dividen adalah berdasarkan keuntungan nyata
    • mempelbagaikan pelaburan dan tidak menumpukan pelaburan dalam syarikat subsidiari bagi mengurangkan risiko pelaburan serta kebergantungan pendapatan
    • menambah-baik polisi pelaburan supaya saham yang mengalami kerugian yang berpanjangan dapat di tangani

    7.      Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ialah sebuah organisasi yang di tubuhkan oleh Kerajaan Malaysia untuk kesejahteraan hidup warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Secara am-nya, operasi LTAT adalah serupa dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana warga ATM mencarum wang ke dalam akaun LTAT.

    8.      Sebagai Contoh. Anggota Lain-Lain Pangkat (iaitu bukan pegawai) di wajibkan mencarum ke dalam akaun LTAT, dengan potongan 10% daripada gaji hakiki, dan 15% pula di sumbang oleh Kerajaan Malaysia.

    Manakala pegawai pula tidak di wajibkan, dan boleh mencarum secara sukarela ke dalam akaun LTAT.

    Ketika ini terdapat hampir 125,000 pencarum LTAT.

    9.      Oleh yang demikian, LTAT mesti di uruskan dengan cekap dan amanah, agar wang simpanan warga ATM selamat dan bertambah banyak dengan pulangan dividen yang lumayan. Namun begitu, pelbagai laporan dan pendedahan menunjukkan LTAT menghadapi isu dan skandal yang telah menjejaskan prestasi kewangan-nya. Ini bukanlah perkara baru, malah telah berlanjutan untuk sekian lama.   

    10.   Sebagai contoh. Pembayaran dividen oleh LTAT telah menunjukkan trend menurun: 7.99%, RM 685.5 juta (2016), 8.27%, RM 686.8 juta (2017), 2%, RM 161.2 juta (2018), 2.5%, RM 220.9 juta (2019), 3.5%, RM 310.7 juta (2020), 4.1%, RM 379.4 juta (2021), 5%, RM 476.45 juta (2022).

    11.   Manakala, ada syarikat utama di bawah LTAT yang menghadapi isu pengurusan dan kewangan. Sebagai contoh. Pharmaniaga Berhad sedang mengalami krisis kewangan yang kritikal, sehinggakan ianya telah di kategorikan sebagai sebuah syarikat berstatus PN17 di bawah peraturan Bursa Malaysia, sejak Februari 2023. Ini berlaku setelah Pharmaniaga mengumumkan kerugian bersih sebanyak RM 607.32 juta untuk tahun kewangan 2022.

    12.   Secara ringkasnya, status PN17 bermaksud syarikat berkenaan sedang menghadapi masalah, berdasarkan beberapa kriteria seperti – dana pemegang saham syarikat kurang daripada 25% daripada jumlah modal berbayar syarikat, dan syarikat tidak mempunyai perniagaan ataupun operasi yang signifikan.

    13.   Walaupun berdepan dengan status PN17, pada Julai 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan kontrak baru kepada Pharmaniaga untuk pembekalan perkhidmatan logistik bekalan perubatan selama 7 tahun. Sekiranya kontrak tersebut tidak di berikan, isu kewangan Pharmaniaga akan berpanjangan, LTAT akan terjejas, dan pencarum LTAT akan merana.

    14.   Tambahan lagi, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) di sabit dengan skandal projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir/ Littoral Combat Ship (LCS). Projek tersebut melibatkan pembinaan 6 buah kapal LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    15.   Namun begitu, projek tersebut telah di selubungi dengan kelewatan dan lebihan kos. Walaupun lebih RM 6 billion telah di bayar kepada BNS, tiada satu pun kapal LCS yang telah siap dan di serahkan kepada TLDM sehingga sekarang.

    16.   Kerajaan Malaysia terpaksa ‘bailout’ BNS dengan meneruskan projek tersebut di bawah BNS agar kapal LCS dapat terus di bina. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga telah menubuhkan Syarikat Bertujuan Khas/ Special Purpose Vehicle (SPV) bagi mengambil alih BNS sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan Malaysia.

    17.   Jika tindakan ‘bailout’ berkenaan tidak di ambil, sudah pasti BNS akan tersungkur, LTAT akan terjejas, dan pencarum LTAT akan merana. Tambahan lagi, tanggungjawab menjaga kedaulatan serta keselamatan negara tidak dapat di laksanakan dengan baik oleh TLDM.

    18.   Untuk menangani isu-isu kewangan berkenaan, LTAT telah mengambil beberapa langkah, termasuklah penjualan aset yang bernilai tinggi. Pada April 2023, LTAT mengesahkan telah menjual 4.95% saham di dalam Affin Bank dengan harga RM 221.74 juta kepada Kerajaan Sarawak.  

    19.   Dan pada awal Januari 2024, LTAT mengesahkan sedang berbincang dengan Kerajaan Sarawak untuk urus niaga saham tambahan di dalam Affin Bank, yang bakal menyaksikan Kerajaan Sarawak memiliki lebih banyak saham di dalam Affin Bank.

    20.   Pada minggu lepas, rasional penjualan saham milik LTAT di dalam Affin Bank telah di bangkitkan semasa Persidangan Dewan Rakyat, memandangkan Affin Bank berjaya mencatat keuntungan setiap tahun dan keuntungan tersebut adalah penyumbang utama untuk pembayaran dividen kepada pencarum LTAT.

    21.   Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja berdepan dengan isu kewangan LTAT. Pada masa yang sama, warga ATM juga berdepan isu pencen yang di anggap tidak adil dan saksama.

    22.   Pada November 2022, seramai 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia, memohon pengisytiharan bahawa Kerajaan Malaysia telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan setelah gagal melaksanakan penyelarasan pencen baru untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

    23.   Pesara ATM berkenaan memohon agar pencen kesemua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 di selaraskan mengikut kadar dan cara sepertimana pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013. Kegagalan penyelarasan pencen ini telah menyebabkan berlaku jurang ketara di antara pesara ATM berkenaan dengan pesara ATM yang bersara selepas 1 Januari 2013.

    24.   Dan pada Februari 2024, pesara ATM berkenaan telah meraih kejayaan apabila mahkamah telah membenarkan saman pemula tersebut, serta memutuskan bahawa perintah untuk penyelarasan pencen di benarkan.

    25.   Warga Angkatan Tentera Malaysia menjalankan tanggungjawab menjaga kedaulatan serta keselamatan negara yang membolehkan seluruh rakyat Malaysia menjalani kehidupan seharian dengan aman. Pengorbanan, jasa serta sumbangan warga ATM mesti di hargai dengan menjaga kesejahteraan hidup mereka.

    26.   Ini termasuklah menguruskan wang simpanan warga ATM di dalam LTAT dengan cekap dan amanah, serta pembayaran pencen yang setimpal. Sebarang kegagalan adalah seumpama menimbus jasa mereka di dalam lubang dan di tinggalkan tanpa sebarang tanda.    

    RELATED ARTICLES
    Pendapat

    Peningkatan kadar gaji minimum mampu hasilkan situasi ‘win-win’ antara pekerja,majikan

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Most Popular