HomeUtamaBantuan subsidi tiket penerbangan pelajar IPTA / Swasta bukti keprihatinan kerajaan -...

Bantuan subsidi tiket penerbangan pelajar IPTA / Swasta bukti keprihatinan kerajaan – Fairuz

Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar dari Sabah yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Swasta di seluruh negara adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta yang diumumkan oleh Ketua Menteri kita bagi tujuan bantuan subsidi tiket penerbangan untuk anak Sabah yang menuntut di IPTA seluruh negara, ini bukti dan kasih sayang Ketua Menteri dan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk anak-anak pelajar kita.

“Saya yakin, bantuan ‘one off’ yang diberikan secara terus kepada pelajar itu, pastinya akan dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak Sabah kita yang menuntut di IPTA seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Fairuz lagi, bantuan seumpama itu sememangnya memberi makna besar kepada anak-anak Sabah yang merantau mencari ilmu, jauh dari keluarga.

“Dengan nilai RM600 untuk seorang pelajar anak Sabah, pasti ini sesuatu yang amat menggembirakan, dan insyaAllah dapat membantu meringankan beban anak-anak pelajar kita untuk pulang ke Sabah.

“Dana ini merupakan dana peruntukan khas Ketua Menteri dan saya sendiri secara peribadi amat bersyukur kerana usaha ini adalah usaha yang amat baik, dan mudah-mudahan akan terus dipanjangkan lagi pada masa akan datang, demi anak-anak Sabah yang merantau mencari ilmu.

“Di Kementerian Belia dan Sukan Negeri, saya bersama yang lain juga amat menyokong segala usaha positif untuk membantu golongan belia dan anak-anak muda, tanpa memandang perbezaan bangsa atau agama.

“Asalkan anak kita anak Sabah, kita mahu berusaha sebaiknya membantu sebolehnya dari segala aspek yang boleh kita bantu,” katanya lagi.

Pengumuman bantuan ‘one off’ itu dibuat oleh Hajiji semasa lawatannya ke Pulau Pinang untuk Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung pada Isnin.

Dalam pada itu, Fairuz turut menyeru semua syarikat penerbangan untuk bertimbang rasa dan tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan dan keadaan semasa khasnya berkenaan kos dan harga tiket penerbangan untuk anak-anak perantau Sabah pulang berhari raya.

“Kepada syarikat penerbangan yang beroperasi, saya harap dan saya minta, janganlah terlampau mahal dan harga tiket penerbangan yang dicas itu tidak lah sampai buat menitis air mata anak-anak kita di perantauan, kerana terlalu mahal hingga tidak dapat dibeli dan akhirnya tidak dapat pulang beraya.

“Wajar untuk syarikat penerbangan mempunyai sedikit nilai ihsan dan empati kepada keadaan semasa, walaupun berbisnes, berurus niaga dan mencari pendapatan, namun, dalam sesetengah keadaan, perlu juga ada pertimbangan logik moral.

“Semoga menjelang hari raya nanti, tidak ada kejadian anak-anak perantau kita yang tertinggal kapal terbang kerana jadual penerbangan diubah tanpa notifikasi awal, harga tiket dicas terlalu ekstrem dan lain-lain masalah lagi, insyaAllah,” ujar Fairuz lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap peniaga Pakistan naikkan harga barang jualan – James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular