HomeUtamaUsaha Menanam Ilmu, Kesedaran Rakyat Dalam Menghadapi Teknologi Angkasa Di Malaysia

Usaha Menanam Ilmu, Kesedaran Rakyat Dalam Menghadapi Teknologi Angkasa Di Malaysia

Read Time:3 Minute, 51 Second

KUALA LUMPUR: Pembangunan dalam teknologi angkasa berlangsung dengan pantas dan banyak negara pada hari ini mengambil peluang untuk menjadi sebahagian daripadanya.

Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menjadikan negara ini sebagai salah satu penyedia perkhidmatan tapak pelancar roket ke angkasa lepas, dengan Sabah menjadi salah satu lokasi yang sedang dilaksanakan tapak kajian kebolehlaksanaan.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata adalah penting merakyatkan teknologi angkasa di negara ini, terutama dalam aspek manfaat teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan, selain pemahaman serta penguasaan masyarakat Sabah terhadap ilmu teknologi angkasa lepas.

Menyediakan ilmu dan teknologi angkasa lepas

Secara teknikalnya Sabah mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian untuk dijadikan lokasi  ke-16 di dunia yang memiliki kemudahan pelancaran ke angkasa lepas.

Ujar Azlikamil, rakyat Sabah berpotensi memperolehi manfaat dan kelebihan jangka masa panjang sekiranya pembangunan teknologi angkasa di Sabah berjaya dilaksanakan, apatah lagi inisiatif seumpama ini dapat menarik minat pelabur asing yang melihat potensi membangunkan Sabah.

Secara tidak langsung pendekatan ini juga akan memajukan Malaysia sebagai negara ke-9 mempunyai kemudahan pelancar angkasa lepas.

“… cabaran kepada masyarakat di Sabah, bagaimana untuk memahami manfaat dan menerima kepentingan serta kelebihan menguasai teknologi ini (pembangunan tapak pelancar roket). Kepantasan kemajuan teknologi angkasa juga menjadi sebahagian cabaran kepada kita dalam meneroka dan menguasai teknologi angkasa ini yang semakin canggih.

“Kita akui harus melalui cabaran-cabaran ini sekiranya ingin melihat sektor angkasa menjadi salah satu penyumbang ekonomi baharu kepada negara di masa hadapan, disamping berpeluang memiliki kepakaran tempatan seperti negara-negara maju Jepun, AS, China, dan India. Justeru, kita perlu mulakan usaha ini dari sekarang, khususnya dari segi mendidik kesedaran dan penguasaan serta penyampaian ilmu berkaitan angkasa,” katanya dalam wawancara khas bersama Sabah Media baru-baru ini.

Kesesuaian Sabah Berbanding Negeri-negeri Lain

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada tahun lalu telah melancarkan garis panduan mengenai kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas dan memberikan tempoh kurang setahun kepada semua pihak yang berminat untuk menyediakan laporan berkenaan.

Usaha ini amat penting dalam menjadikan Malaysia untuk mempunyai tapak pelancaran roket sebelum tahun 2030.

Azlikamil, ketika memperincikan sebahagian aspek kesesuaian Sabah sebagai tapak pelancar roket ke angkasa memberitahu negeri ini mempunyai persamaan geografi seperti di Kourou, France Guiana, iaitu salah satu lokasi di dunia yang menyediakan perkhidmatan pelancar roket.

“Secara asasnya Sabah bersesuaian. Ada beberapa aspek yang membantu antaranya kedudukan geografi, di mana Sabah terletak di Kawasan garisan Khatulistiwa. Kedudukan ini mempunyai potensi tinggi untuk diwujudkan perkhidmatan tapak pelancar roket ke angkasa lepas yang menawarkan tempoh singkat ke angkasa lepas serta kos yang lebih efektif.

“Asas muka bumi Sabah juga antara faktornya, di mana kedudukan negeri ini menghadap lautan terbuka seperti Laut Pasifik, yang mana kebanyakan perkhidmatan pelancar roket di luar negara berada berhampiran kawasan laut terbuka untuk mengurangkan risiko kepada manusia dan alam sekitar,” katanya.

Menurut Azlikamil lagi, adalah penting untuk memilih lokasi tapak yang kurang kepadatan penduduk dan pembangunan di persekitarannya untuk mengurangkan risiko operasi.

“Seterusnya kesesuaian jenis batuan asas atau bedrock. Seperti contoh batuan asas yang paling sesuai sebagai tapak pelancaran adalah batuan granite. Sabah mempunyai ciri-ciri litologi atau jenis-jenis batuan yang agak sesuai bagi tujuan penyediaan kekuatan tapak pelancaran di beberapa kawasan tertentu.

“Jika kita nak buat perbandingan asas, kawasan di Sabah mempunyai ciri-ciri yang sama seperti kawasan tapak pelancar roket yang ada di Kourou, France Guiana.

“Ada beberapa jenis kaedah atau teknologi pelancaran roket di seluruh dunia seperti pelancaran darat, laut, dan sub-orbit. Sungguhpun begitu, mengambil kira kesesuaian persekitaran di Sabah, ia berpotensi untuk dibangunkan tapak pelancar roket dari darat,” katanya.

Ambil Peluang, Jana Ekonomi Negeri, Malaysia

Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa kemajuan dalam bidang angkasa lepas menjanjikan pulangan lumayan, bukan sahaja buat penduduk setempat, begitu juga dalam aspek ekonomi negara. Ini seiring dengan perkembangan pesat ekonomi baru dunia yang berasaskan angkasa.

Generasi muda di Malaysia perlu mengambil peluang keemasan ini untuk turut menerokai dan menguasai  kemajuan teknologi angkasa lepas yang lebih terbuka pada masakini.

“Kemajuan teknologi pelancar amat pantas. Jika hari ini kita dapati Space X telahpun berjaya membina pelancar roket yang boleh digunakan semula, walaupun ia belum mencapai tahap kematangan.

Baca juga :- https://sabahmedia.com/2024/04/05/aspek-ekonomi-pelancongan-sabah-berkembang-menguntungkan-rakyat-dengan-pembinaan-tapak-pelancar-angkasa-lepas/

“Hakikatnya pada hari ini permintaan terhadap perkhidmatan pelancaran roket di seluruh dunia adalah sangat tinggi. Dalam tempoh seminggu di seluruh dunia, tidak kurang dari dua pelancaran roket ke angkasa lepas dilaksanakan. Bermakna dalam tempoh setahun ianya mampu mencecah hingga ratusan aktiviti pelancaran.

“Jadi ini adalah cabaran baharu kepada penyedia tapak pelancar roket di seluruh dunia. Bukan sahaja kerana kemajuan teknologi, tetapi faktor pemintaan yang cukup tinggi,” katanya lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Semak Semula Arahan MKN No 20 Untuk Mantapkan Mekanisme Pengurusan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya