HomeUtamaPelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036, memastikan kayu balak cukup di Sabah

Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036, memastikan kayu balak cukup di Sabah

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah merangka dan melancarkan pelan tindakan untuk Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036 pada bulan Mac 2022.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pelan tindakan ini juga menggariskan hala tuju untuk pengurusan ladang hutan yang berkesan dan cekap.

“Pelan tindakan ini bagi memastikan bekalan kayu balak adalah mencukupi untuk industri hiliran kayu balak di Sabah dalam jangka masa panjang dan ia juga selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dan Dasar Hutan Sabah 2018,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Mohd Arsad Bistari mengenai langkah kerajaan memastikan bekalan kayu balak mencukupi di Sabah untuk jangka masa panjang.

Nizam turut menjelaskan bahawa Pelan Tindakan Pembangunan Hutan ini adalah panduan bagi transformasi pembangunan ladang hutan di Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2036.

“Justeru, kerajaan negeri Sabah menyasarkan pembangunan lebih kurang 18 ribu hektar kawasan ladang hutan untuk dibangunkan pada setiap tahun bagi mencapai sasaran 400 ribu hektar ladang hutan menjelang tahun 2036.

“Kawasan ladang hutan ini dijangkakan bakal membekalkan sumber kayu tanaman yang berkekalan sebanyak enam juta meter padu setahun kepada industri hiliran kayu kayan dan membuka 40 ribu peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, pada Dewan sama, Nizam turut memaklumkan jumlah kutipan hasil yang telah dikutip oleh Jabatan Perhutanan Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak RM155,320,887.49.

“Daripada jumlah tersebut, hasil daripada royalti sumber balak adalah RM93,270,201.64 dan hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM3,872,617.40.

“Lebihan hasil sebanyak RM58.2 juta adalah daripada lain-lain hasil hutan seperti yuran permit menduduki hutan simpan, yuran pembaharuan lesen, royalti hasil agroforestry (getah dan kelapa sawit), yuran pendaftaran kenderaan dan lain-lain,” katanya.

Nizam berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan jumlah kutipan hasil negeri setakat ini daripada sumber balak dan kayu yang diproses di kilang papan di Sabah.

Menurutnya, bagi tahun ini, setakat 31 Mac 2024, jumlah kutipan royalti balak bulat adalah sebanyak RM28.3 juta, manakala hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM629,672.90. Kutipan daripada lain-lain hasil hutan pula adalah lebih kurang RM10.75 juta.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tiada yuran yang dikutip untuk kayu yang diproses di kilang papan tempatan memandangkan semua kutipan ke atas kayu balak bulat telah pun dikenakan di kawasan penghasilan (at source) iaitu sebelum dihantar ke kilang pemprosesan.

“Yuran pemeriksaan hanya dikenakan kepada beberapa produk kayu terpilih yang dieksport dan diimport masuk ke negeri sabah,” tambah beliau.

Nizam dalam pada itu berkata, bahawa jawapan secara bertulis akan diberikan kepada soalan tambahan yang dikemukakan oleh Shafie bagi penjelasan lanjut mengenai jumlah pungutan cukai yang diperolehi daripada perjanjian kepada syarikat-syarikat yang terbabit.

RELATED ARTICLES
Utama

Empat wanita warga Filipina mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya