HomeIsu tempatanESSCOM tahan 29 individu atas pelbagai kesalahan

ESSCOM tahan 29 individu atas pelbagai kesalahan

Read Time:1 Minute, 28 Second

Beluran : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya menahan seramai 29 individu atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersepadu di Pos Pemeriksaan Darat (RCP) Sapi Nangoh, di sini.

Operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 9 Mei baru-baru ini turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa agensi lain.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, Operasi Bersepadu ini dilaksanakan di sekitar Daerah Beluran serta melibatkan seramai 103 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

Katanya, operasi itu adalah bertujuan untuk membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tambahnya, ia termasuklah penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain di laluan utama yang menghubungkan pantai Barat dan pantai Timur Sabah termasuk laluan-laluan tikus yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah dalam kawasan daratan daerah Beluran.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 512 buah kenderaan dan seramai 1,076 individu telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang PATI warganegara Filipina dan Indonesia ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Beluran atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen  1959/ 63 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Victor berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menahan seramai dua orang individu warga asing dan merampas sebuah pacuan empat roda disyaki membawa 600 liter diesel tanpa permit.

Katanya, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang menjayakan operasi ini serta Jabatan dan agensi terlibat.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM dalam memperkasakan operasi-operasi sedia ada.

“Operasi Bersepadu ini akan terus dipergiat khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan bot lakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular