HomeUtamaRM43.49 juta naiktaraf rangkaian internet premis kerajaan negeri, Pusat e-Desa

RM43.49 juta naiktaraf rangkaian internet premis kerajaan negeri, Pusat e-Desa

Read Time:2 Minute, 20 Second

Ranau: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM43.49 juta dalam Belanjawan Sabah 2024 untuk menaiktaraf rangkaian internet di 1,031 buah premis Kerajaan Negeri, termasuk Pusat-Pusat e-Desa menggunakan gentian optik berkelajuan minima 300 mbps,

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana teknologi digital di Sabah.

Katanya, ia termasuklah mempercepat pelaksanaan Pelan Strategik Kerajaan Digital di negeri ini menjelang tahun 2025.

Menurutnya lagi, Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) yang masih dalam peringkat pelaksanaan dijangka akan siap pada akhir tahun 2025.

“Bagi kawasan pedalaman yang mengambil masa untuk didirikan menara dan infrastruktur gentian optik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah telah memilih alternatif lain iaitu memasang peranti Starlink di seluruh kawasan Sabah yang telah dikenal pasti mempunyai masalah ketersambungan internet sebagai penyelesaian interim kepada kawasan tersebut.

“Sebanyak 300 buah peranti Starlink telah dipasang oleh Sabah Net Sdn.Bhd sebagai pelaksana, menjadikan negeri Sabah negeri pertama memasang Starlink terbanyak kepada masyarakat luar bandar. Perkhidmatan internet ini hanyalah sebagai penyelesaian interim sehingga projek JENDELA siap kelak.

“Setakat 28 Mei 2024 lalu, pemasangan Starlink telah mencapai 100 peratus, yang merangkumi daerah-daerah seperti Tuaran, Tambunan, Ranau, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom, Tawau, Kalabakan, Sandakan, Tongod, Pitas, Kunak, Kudat, Beluran, Telupid, Sipitang, Beaufort, Lahad Datu, Semporna, Nabawan, Sook, Papar dan Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Internet Komuniti Luar Bandar Kampung Terolobou, Ranau di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, dengan meningkatnya akses internet yang lebih meluas, penduduk luar bandar boleh mengecapi peluang yang setara dengan penduduk di bandar.

Beliau mengambil contoh, penduduk luar bandar sudah boleh berhubung dengan menggunakan panggilan video, mengakses harga pasaran semasa hanya dalam talian, mempelajari ilmu pertanian, peternakan, perikanan dan banyak lagi menerusi video dalam talian yang secara langsung akan dapat meningkatkan produktiviti mereka.

“Pelajar luar bandar juga turut mendapat manfaat. Mereka kini sudah boleh mengakses sumber pendidikan melalui kursus dalam talian dan mendapat ilmu pengetahuan global yang akan membuka potensi menyeluruh mereka.

“Usahawan akan dapat mencapai pasaran yang lebih luas dengan memulakan perniagaan dalam talian demi menjana pendapatan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi di kalangan komuniti,” katanya.

Menurutnya, satu kaedah merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar ialah penyediaan kemudahan seperti itu, sekali gus memberikan peluang kepada seluruh masyarakat luar bandar untuk lebih berkembang maju.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, perasmian Internet Komuniti Luar Bandar Kampung Terolobou menandakan peristiwa penting sebagai simbolik ke arah kemajuan teknologi digital khasnya kepada seluruh penduduk luar bandar.

Katanya, transformasi digital ini akan melonjakan proses perubahan teknologi digital dalam berbagai aspek kehidupan yang melibatkan masyarakat secara keseluruhan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

51 rumah setinggan dirobohkan, 6 PTI ditangkap

Buaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular