KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi melindungi pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu sebelum melaporkannya kepada agensi penguatkuasaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menjelaskan bahawa mengikut peruntukan sedia ada, individu boleh membuat pendedahan perlakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan seterusnya diberikan perlindungan apabila maklumat disalurkan melalui saluran yang ditetapkan.
Merujuk kepada kes pendedahan rasuah dalam perolehan projek mineral di Sabah, Azalina menegaskan bahawa pemberi maklumat dalam kes tersebut telah membuat pendedahan kepada umum sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Oleh itu, mereka tidak layak mendapat perlindungan di bawah Subseksyen 7(1) akta berkenaan.
“Pada masa ini, tiada cadangan untuk meminda Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat yang membuat pendedahan secara terbuka kepada orang ramai,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) berkenaan kemungkinan wujud pengecualian dalam pindaan akan datang bagi kes berkepentingan awam, Azalina menegaskan bahawa perlindungan hanya diberikan sekiranya maklumat yang disalurkan memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh agensi penguat kuasa.
“Apabila seseorang membuat laporan kepada agensi penguat kuasa, pihak berkuasa akan menentukan sama ada individu tersebut layak untuk diberikan perlindungan. Mereka tidak boleh mengharapkan perlindungan sekiranya pendedahan dibuat kepada umum terlebih dahulu, kerana kadangkala pemberi maklumat mungkin mempunyai agenda tersendiri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Azalina turut mengesahkan bahawa kerajaan komited untuk meminda Akta 711 dan ia dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat. Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk pengubahsuaian Seksyen 6 bagi mengelakkan percanggahan dengan akta lain, serta menggalakkan pendedahan kelakuan tidak wajar tanpa halangan daripada peruntukan undang-undang sedia ada.
Selain itu, kerajaan turut meneliti penambahbaikan Seksyen 11 yang berkaitan dengan pembatalan perlindungan pemberi maklumat, di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan dibuat secara suci hati dan tidak melibatkan kepentingan peribadi. Pengenalan skala ganjaran standard bagi pemberi maklumat turut dicadangkan untuk memudahkan proses pemberian insentif kepada individu yang menyalurkan maklumat penting kepada pihak berkuasa.