Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Rakyat perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada lanskap dan ekosistem negeri Sabah yang mempunyai keunikan tersendiri dalam pelbagai perkara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik.
Beliau turut yakin dan percaya segala usaha ke arah itu telah dijalankan sebaiknya oleh Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sabah dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta kerjasama bersama agensi-agensi lain.
Menurutnya ia adalah bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia.
“Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik. Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani.

“Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi dengan ciri lokal.
“Bagi menghayati pengorbanan para pejuang kemerdekaan terdahulu, kita perlu sayang dan cinta kepada tanahair. Nilai-nilai sayang ini boleh diwujudkan dengan kita menilai dan menghargai nikmat dan kebahagian tinggal di negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penangguhan Seminar Fiqh Kenegaraan Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, beliau berharap setiap rakyat bersedia untuk melalui fasa peralihan yang terbesar dalam sejarah pentadbiran negara.
Katanya, inisiatif-inisiatif kesejahteraan rakyat Malaysia Madani merupakan kesungguhan kerajaan membuktikan dalam memakmurkan ekonomi negara seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya.
“Namun begitu, kemakmuran dan kemajuan yang dicapai ini akan tergugat jika aspek perpaduan dan semangat cintakan negara itu tidak dipelihara bersama secara kolektif.
“Di negeri dan negara inilah tempat kelahiran kita, tempat membesar, tempat kita hidup dengan keluarga, masyarakat dengan aman dan tenteram mencari kehidupan.
“Kesuburan bumi negara ini memberi kita peluang bercucuk tanam dan menikmati hasilnya dengan berlimpah-ruah,” katanya. – SABAH MEDIA