Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Selepas mencipta sejarah di pentas antarabangsa, juara gusti lengan kelahiran Sabah, Michael Ford, 36, kini menyasarkan kejayaan lebih besar.
Kejuaraan dalam kategori super heavyweight (125kg ke atas) di Kejohanan Gusti Lengan Arnold Classic di Ohio, Amerika Syarikat pada 28 Februari lalu hanyalah permulaan.
Ford kini memberi tumpuan kepada mengembangkan kerjayanya sebagai atlet profesional serta menginspirasi generasi baharu dalam sukan gusti lengan di Malaysia.
“Ini adalah kemenangan yang bermakna buat Sabah, Malaysia. Walaupun komuniti gusti lengan kita kecil, dengan latihan yang tekun, konsisten, dan strategi yang tepat, kita mampu bersaing di peringkat tertinggi.
“Kami akan terus berusaha membuktikan kepada dunia gusti lengan bahawa kami adalah pasukan yang layak digeruni,” kata Ford kepada Sabah Media.
Ford, satu-satunya wakil Asia Tenggara di Arnold Classic, dijangka pulang ke Kota Kinabalu pada 7 Mac. Sasarannya dalam masa terdekat adalah untuk mengungguli kejohanan gusti lengan peringkat kebangsaan dan global.
“Matlamat utama saya sekarang ialah memenangi gelaran kebangsaan dan kejuaraan keseluruhan di Kejohanan Kebangsaan Gusti Lengan di Melaka pada 19 hingga 20 Julai,” katanya.
Tambahnya, selepas kejayaan di Arnold Classic, Ford telah memperoleh kad Pro untuk bertanding dalam ‘The High Five Armwrestling Promotion’ di New Jersey.
“Ini bermakna saya akan terbang semula ke New York, dijangka pada bulan Julai, untuk perlawanan satu lawan satu menentang ahli gusti lengan bertaraf dunia. Disebabkan latihan intensif yang memberi tekanan besar kepada tendon dan sendi saya, buat masa ini saya akan tumpukan perhatian untuk kedua-dua kejohanan ini” jelasnya.
Ford berkata kejayaan yang dicapai pada kejohanan Gusti Lengan Arnold Classic bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi juga sebagai inspirasi kepada atlet lain di Malaysia.
“Saya berharap kemenangan ini dapat membakar semangat atlet muda di Malaysia, tidak kira dalam sukan apa sekalipun. Jangan jadikan keterbatasan sumber sebagai halangan, teruskan berusaha walaupun ada saatnya terasa ingin berputus asa. Yang penting, tingkatkan prestasi diri walau hanya satu peratus setiap hari, kerana yang terbaik pasti akan bersinar,” ujarnya.
Menghargai sokongan yang diterima sepanjang perjalanan kejayaannya, Ford menzahirkan penghargaan kepada para penaja, termasuk Thunder Cranes, Restore Chiropractic, serta Datuk Ewon Benedick dan Datuk Donald Peter Mojuntin yang telah membantu menampung perbelanjaannya di Amerika Syarikat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja utama saya, Thunder Cranes, kerana menanggung kos perjalanan saya. Juga kepada Restore Chiropractic kerana menaja saya sebagai atlet dan memberi akses kepada fisioterapi berkualiti tinggi. Tidak lupa kepada Datuk Ewon Benedick dan Datuk Donald Peter Mojuntin atas sumbangan kewangan mereka yang membantu saya menampung perbelanjaan di Amerika Syarikat.
“Akhir sekali, terima kasih tidak terhingga kepada isteri saya yang begitu hebat menguruskan segala-galanya di rumah dan menjaga tiga anak kami sementara saya menjalani latihan yang begitu intensif,” katanya.
Tidak melupakan peminat dan penyokongnya, Ford menyatakan bahawa kemenangannya tidak akan bermakna tanpa mereka.
“Anda semua menjadikan perjalanan ini berbaloi dengan segala pengorbanan yang perlu saya lakukan untuk berada di tahap ini.
“Saya amat bersyukur memiliki anda semua dalam hidup saya, dan walaupun saya tidak dapat membaca setiap ucapan tahniah satu per satu, percayalah bahawa setiap penghargaan dan doa anda saya hargai sepenuh hati. Salam hormat dan kasih buat anda semua.,” ujarnya lagi.