Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah bersama Masjid Baiturrahman telah melaksanakan Program Jelajah Ramadan 2025 dengan tujuan menyampaikan bakul sumbangan kepada golongan asnaf dan mualaf di sekitar daerah Penampang.
Pengarah JPJ Sabah Mohd Harris Ali berkata, program ini menyasarkan 20 penerima terdiri daripada golongan asnaf mualaf yang berada di lapan kampung terpilih di daerah Penampang.
“Pemberian sumbangan ini adalah orang ramai dan juga warga JPJ sendiri dan kita akan menyatuni, berjumpa dan menyerahkan sendiri sumbangan di rumah penerima masing-masing,” katanya sebelum bergerak secara konvoi menyerahkan sumbangan itu.
Kampung-kampung yang terlibat termasuk Kg. Nosoob, Kg. Tuavon, Kg. Kasigui, Kg. Sugud, Kg. Kolopis, Kg. Kakahangan Babagon, Kg. Limbanak, dan Kg. Maang.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 12 Mac melibatkan 31 pegawai dan kakitangan JPJ Sabah dengan menggunakan enam buah kenderaan.
Program ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan pihak JPJ Sabah terhadap masyarakat, tetapi juga memberi peluang kepada kakitangan untuk berbakti dalam bulan Ramadan.