Kota Kinabalu : Penganjuran Karnival Bazzaria Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa di sini berjaya mengeratkan kerjasama antara sekolah dan komuniti setempat selain menjadi medan jualan dan hiburan.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohd Arif Sakaran berkata, karnival itu juga bertujuan bagi mengumpul dana Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Selain itu katanya, penganjuran karnival itu juga adalah bagi menambah baik kemudahan sekolah di samping menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti murid sepanjang tahun ini.
“Menariknya, platform ini turut memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai dunia sebenar keusahawanan dari mengurus kewangan, membina keyakinan diri dalam komunikasi, hingga bekerjasama dalam pasukan.
“Melalui karnival ini, murid kita bukan sahaja belajar berniaga, tetapi juga menghayati nilai jati diri dan semangat kekitaan. Ini adalah pendidikan luar bilik darjah yang sangat berharga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Bazzaria SK Malawa 2025 di sini pada Sabtu.
Arif berkata, karnival itu juga membuka ruang kepada para usahawan kecil mempromosikan produk dalam suasana mesra keluarga, sekali gus memeriahkan suasana dengan pelbagai gerai makanan, permainan, cabutan bertuah dan persembahan pentas.
Katanya, karnival itu turut disertai beberapa buah sekolah sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, dan Penampang yang datang menyertai pelbagai aktiviti seperti pertandingan seni, sukaneka, dan persembahan budaya.
“Ia bukan sekadar karnival, tetapi jambatan yang menghubungkan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat luar. Inilah semangat komuniti yang kita mahu pupuk,” katanya. – SABAH MEDIA