Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sabah masih belum mempunyai satu pun tapak pelupusan sampah yang diluluskan oleh Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Justeru katanya, usaha sedang dilaksanakan bagi mempertingkatkan tahap pengurusan sampah di negeri ini.
“Untuk mesra alam, kita perlu ada tempat pelupusan sampah yang baik, walaupun sampah dibuang di situ, kita masih boleh duduk, buka pejabat, makan dan minum di situ juga. Ini kerana, dengan sistem pelupusan yang terbaik, langsung tiada bau yang terhasil.
“Kita perlu mengenal pasti teknologi yang sesuai dan bekerjasama dengan syarikat swasta bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Ahli-Ahli Majlis Daerah Putatan (2025 – 2027), yang berlangsung di sini, pada Selasa (6 Mei).
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri ll, memaklumkan bahawa sekiranya ingin melaksanakan sistem pelupusan sisa yang mesra alam, masyarakat perlu bersedia untuk membayar kadar taksiran yang lebih.
Namun, katanya antara langkah ke hadapan adalah menggalakkan orang ramai mengamalkan pengasingan sisa dari rumah, walaupun ia masih belum dilaksanakan.
“Kita berharap ia dapat dilaksanakan. Namun, kita tidak boleh melaksanakannya secara mengejut. Pendidikan dan kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan terlebih dahulu. Sehinggalah mereka akan melakukannya secara sukarela,” katanya.
Menurut Dr Joachim, baru-baru ini beliau melawat sebuah tapak pelupusan sampah di Shenzhen, China, dan mendapati teknologi yang digunakan di sana berpotensi untuk diaplikasikan di Sabah, walaupun kosnya agak tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah sisa yang dihasilkan di Shenzhen mencecah kira-kira 200,000 tan sehari dan cukup untuk menjana tenaga elektrik.
“Sabah juga boleh melakukan perkara yang sama, walaupun pada skala lebih kecil. Namun persoalannya ialah, bolehkah kita mengekalkan kutipan sisa secara konsisten?,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah pada masa ini masih belum mempunyai insinerator. Bagaimanapun, satu kajian rintis sedang dirancang di Sandakan dan Papar yang melibatkan satu proses dipanggil pirolisis. Sisa akan dibakar dalam tempoh yang lama, pada suhu rendah dalam bekas tertutup tanpa kehadiran oksigen.
Katanya, bahan sampingan daripada proses ini termasuk abu dan karbon, manakala bahan organik seperti plastik dan getah boleh menghasilkan minyak. Selain itu, keluli yang tidak terbakar dalam proses tersebut boleh dikitar semula.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua inisiatif ini adalah usaha pihak swasta dan memaklumkan mereka sedang dalam proses menandatangani semua dokumen.