HomeUtama49 prospek sertai Program Hijrah Kasih

49 prospek sertai Program Hijrah Kasih

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Seramai 49 prospek daripada tiga institusi pemulihan di Sabah diberi peluang mengubah haluan hidup melalui pendidikan serta pembangunan sahsiah menerusi Program Hijrah Kasih.

Program yang kini memasuki edisi ke-16 itu memberi peluang kepada prospek terlibat untik terus bangkit dan berubah.

Ia merupakan anjuran bersama Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilihat sebagai pemangkin perubahan, bukan sahaja untuk prospek, malah keluarga dan komuniti sekitar.

Pengarah Bahagian Korektif, Komisioner Penjara Nora Musa berkata, pendidikan berkualiti merupakan asas utama dalam usaha pemulihan dan pembentukan jati diri prospek, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Visi Jabatan Penjara sebagai peneraju perkhidmatan korektif tidak akan tercapai tanpa kolaborasi erat dengan pelbagai pihak luar, terutama dalam aspek pendidikan dan pembangunan insan.

“Program Hijrah Kasih ini bukan sekadar pengisian aktiviti, tetapi satu platform untuk prospek menilai diri, memperbaiki kesilapan, dan menetapkan hala tuju masa depan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih di Sekolah Integriti, Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini.

Beliau berkata, pendekatan berfokus kepada sahsiah dan nilai kemanusiaan ini terbukti berkesan, malah telah memulakan legasi pemulihan sejak pertama kali diperkenalkan pada 2012 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka.

Menariknya, pada majlis penutupan program yang sudah berlangsung tiga hari itu turut melibatkan kehadiran ibu bapa, yang menjadi simbol kekuatan emosi dan sokongan moral buat anak-anak mereka yang sedang menjalani pemulihan.

“Kehadiran keluarga menunjukkan bahawa kasih sayang itu tidak pernah terputus, walaupun terhalang oleh tembok. Ia juga menjadi dorongan kuat untuk prospek terus berusaha menjadi insan lebih baik,” katanya.

Program berkenaan melibatkan penyertaan pelajar dari Sekolah Integriti Kota Kinabalu, Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu dan Sekolah Henry Gurney Keningau, yang menjalani pelbagai modul pembinaan sahsiah, kepimpinan dan kerohanian sepanjang program berlangsung dari 6 hingga 8 Mei 2025.

Menutup ucapannya, Nora berpesan agar prospek terus menjadikan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk memperbaiki diri, serta membuktikan bahawa mereka mampu memberi sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Jadikan tembok ini sebagai noktah kepada kesilapan lalu. Bangkit dan buktikan diri anda mampu memilih jalan mulia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Junz Wong bermotif politik, cuba mengelirukan rakyat – Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular