HomeUtamaMichelle Labo serlah keunikan etnik Lundayeh

Michelle Labo serlah keunikan etnik Lundayeh

Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Michelle Labo bersinar menggayakan ‘Kuyu Decur’, pakaian tradisi etnik Lundayeh, salah satu suku kaum minoriti di Malaysia yang kaya dengan sejarah dan budaya tersendiri.

Michelle Labo menggayakan pakaian tradisi Lundayeh.

‘Kuyu Decur’ bermaksud baju wanita dan diperbuat daripada kain belacu berwarna hitam dan putih.

Pakaian tradisi ini dihiasi dengan pelbagai aksesori warisan seperti ‘Tenggulung’ (Mahkota tradisional) dan ‘Pata’ di kepala; ‘Bane Baw Tulang’, ‘Baw Alai’, ‘Bane Kring’, ‘Alet Item’ dan ‘Bane Alai Emas’ di leher; tiga jenis tali pinggang iaitu ‘Beret Baw’, ‘Selapid Perak’ dan ‘Beret Rigit’; serta ‘Gerusong’, ‘Baw Ki Mesia’, ‘Bata’, ‘Leku Sulau’ dan ‘Pakel Kukud’ di pergelangan tangan dan kaki.

Aksesori tersebut bukan sekadar perhiasan, tetapi membawa nilai simbolik yang mendalam kerana melambangkan identiti, status sosial, spiritualiti, dan hubungan erat masyarakat dengan alam sekitar yang diwarisi turun-temurun.

Menurut Michelle, dahulu masyarakat Lundayeh dikenali sebagai pahlawan berani dan pemburu kepala (headhunters) yang digeruni. Kini, keistimewaan etnik ini terletak pada semangat kekeluargaan, nilai murni dalam adat resam serta kekayaan seni, makanan tradisional dan bahasa yang unik.

“Saya berbangga dapat memperkenalkan keindahan warisan ini kepada khalayak ramai. Penyertaan ini menjadi ruang untuk saya memperkukuh jati diri serta menyumbang kepada pengukuhan budaya etnik Lundayeh.

“Saya juga ingin menjadi inspirasi dan duta kecil dalam usaha memelihara serta mempromosikan budaya ini agar terus dihargai dan dikenali oleh generasi kini dan akan datang,” kata Michelle, 28, yang merupakan antara 51 finalis pertandingan Unduk Ngadau Kaaamatan (UNK) peringkat Kebangsaan 2025.

Finalis yang mewakili daerah Sipitang ini menyifatkan pertandingan UNK sebagai platform yang bukan sahaja meraikan kecantikan fizikal, tetapi juga keperibadian wanita berilmu, berbudaya dan berperanan dalam memelihara warisan bangsa.

“Sejak tahun 2017, saya telah beberapa kali diajak menyertai Unduk Ngadau, namun ketika itu saya belum bersedia. Tahun ini, setelah melalui proses refleksi serta perbincangan bersama keluarga dan komuniti, saya akhirnya membuat keputusan untuk menyahut cabaran ini. Persediaan saya tertumpu kepada latihan komunikasi, penghayatan budaya, dan pembinaan keyakinan diri,” katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Lundayeh.

Michelle, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan bekerja sebagai Penyelaras Akaun di sebuah syarikat swasta berkata penyertaannya dalam pertandingan UNK didorong oleh sokongan padu daripada orang sekeliling termasuk keluarga besarnya di Kampung Solob, rakan-rakan rapat, dan komuniti.

“Melihat semangat mereka, saya bertekad menyertai pertandingan ini untuk mewakili daerah dan etnik saya dengan penuh rasa bangga.

“Sokongan moral daripada keluarga dan komuniti amat besar ertinya dalam membantu saya bersedia dari segi mental dan emosi,” kata anak bongsu dari lima beradik ini.

Michelle percaya bahawa wanita moden mampu menjadi jambatan antara warisan dan kemajuan.

“Kita boleh berjaya dalam pendidikan dan kerjaya, namun pada masa yang sama tetap teguh berpegang kepada adat, bahasa, dan budaya yang menjadi akar identiti kita,” katanya penuh semangat.

Kemuncak pertandingan UNK akan berlangsung pada 31 Mei di Hongkod Koisaan, Penampang.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular