Putrajaya : Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Jemaah Menteri, berkuat kuasa 4 Julai depan selepas menyerahkan surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nik Nazmi dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau akan memulakan cuti mulai esok hingga hari terakhir perkhidmatannya.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan kegagalannya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden KEADILAN dalam pemilihan parti baru-baru ini.
“Saya meletak jawatan bukan kerana kecewa, tetapi kerana menghormati prinsip dan realiti politik.
“Saya akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, menumpukan sepenuh tenaga kepada rakyat. Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam,” katanya.
Nik Nazmi mula berkhidmat dalam kerajaan sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022, kemudiannya menerajui kementerian baharu iaitu Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sejak Disember 2023.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah mencatat deretan pencapaian penting sepanjang hampir tiga tahun perkhidmatannya.
Antaranya termasuk pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, penambahbaikan ketelusan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), dan kejayaan Malaysia menjadi antara negara pertama membentangkan Pelan Strategik Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP).
Usaha beliau dalam mengurangkan kadar penyahutanan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Tidak hanya itu, beliau juga memainkan peranan penting dalam pelaksanaan penyasaran semula subsidi elektrik di Semenanjung menerusi mekanisme ICPT, memperkenalkan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga, dan meletakkan asas kepada Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang kini berada di fasa akhir sebelum dibawa ke Parlimen.