HomeUtamaDBKK laksana tindakan tegas terhadap parkir haram di jalan raya

DBKK laksana tindakan tegas terhadap parkir haram di jalan raya

Read Time:1 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan secara haram di jalan dan tempat awam sekitar taman-taman perumahan.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil susulan peningkatan aduan daripada orang awam berhubung kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang menjadikan bahu jalan dan kawasan awam sebagai tempat parkir tetap.

Menurut DBKK, tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan-kenderaan ini akan diambil di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Jalan-jalan dan Tempat Awam 1966, yang memperuntukkan kompaun sehingga RM500, sekiranya didapati melakukan kesalahan tersebut.

“Kenderaan perlu diletakkan di halaman rumah dan bukan di tempat awam atau bahu jalan di sekitar kawasan perumahan, kerana tindakan ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Selain itu, ia juga akan menyukarkan keadaan sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya. Tindakan penguatkuasaan ini juga bertujuan untuk membantu menjaga imej dan keindahan Bandaraya Kota Kinabalu agar kekal teratur, kemas dan selamat,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.

Walau bagaimanapun, DBKK akan sentiasa berusaha untuk mendidik dan memberi peringatan secara berterusan kepada semua penduduk di kawasan perumahan yang terlibat.

Selain itu, peringatan telah disampaikan kepada masyarakat melalui pelbagai saluran komunikasi, termasuk media sosial bagi memastikan tiada kekeliruan berlaku dan semua pihak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau aduan, hubungi Jabatan Penguatkuasaan, DBKK di talian 088-521800.- SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular