Kota Kinabalu: Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK) akan mengadakan Konsert dan Majlis Amal Tahunan yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos depan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Acara yang bermula jam 6.30 petang itu adalah bertemakan ‘Heart of Gold’ dan akan menampilkan persembahan hebat ‘Simply the Best-Tina Turner Tribute Show’, yang dibintangi oleh Rebecca O’Connor iaitu satu-satunya artis tribute Tina Turner yang mendapat pengiktirafan peribadi daripada legenda itu sendiri.
Dana amal yang dikutip pada acara itu akan digunakan untuk menyokong usaha berterusan PCAKK dalam menyediakan penjagaan dan sokongan penuh kasih sayang kepada pesakit yang menghadapi penyakit kronik serta keluarga mereka.
Perkara itu dinyatakan PCAKK dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan secara rasmi ahli jawatankuasa baharu persatuan serta berkongsi perkembangan terkini mengenai program-program yang akan diadakan PCAKK.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Pengurusan), Faradillah Abd. Rani dan Pegawai Penerangan, Nurnabilah Berhaman.
Delegasi PCAKK diketuai oleh Presiden PCAKK, Datuk Dr. Jaswant Singh, Penasihat Pengurusan, Datuk Margaret Lim, Setiausaha Kehormat, Datin Noridah Yassin, Pegawai Perubatan Residen, Dr. Christiannie Celestinus Tay, Ahli Jawatankuasa, Dr. Mathan Mohan Rao dan Caroline Paxton serta Setiausaha Eksekutif, Benzie Richard.
PCAKK turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabin atas sokongan berterusan beliau dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan penjagaan paliatif di Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Sabin berkata, pihaknya menyokong penuh penganjuran majlis amal itu.
Katanya, kunjungan yang diadakan adalah tanda penghormatan dan persefahaman bersama yang bermakna ketika PCAKK terus memperjuangkan penjagaan paliatif yang mudah diakses oleh seluruh warga bandaraya di sini.