HomeUtamaWang yang disita adalah keuntungan niaga - bekas pengarah JANS

Wang yang disita adalah keuntungan niaga – bekas pengarah JANS

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Sejumlah besar wang tunai yang didakwa dijumpai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah keuntungan daripada perniagaan yang dijalankannya bersama rakan kongsi.

Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, mendedahkan perkara itu dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ag Tahir yang memberi keterangan di hadapan hakim Abu Bakar Manat, telah menyebut tiga rakan niaga termasuk abangnya sendiri, yang merupakan kontraktor dan terlibat dalam perniagaan tersebut.

Dalam pernyataan saksi bertulis setebal 155 muka surat Ag Tahir antara lain menjelaskan bahawa beliau telah memberikan modal perniagaan kepada mereka menggunakan simpanan sendiri namun tidak mengingati jumlahnya kerana ia berlaku sudah lama.

Beliau juga berkata bahawa tiada sebarang perjanjian hitam putih antara mereka, hanya perjanjian lisan.

Ag Tahir turut memberi keterangan bahawa selain keuntungan, wang yang didakwa dijumpai itu juga termasuk gajinya.

Tambahnya, beliau telah menerima keuntungan mencecah jutaan ringgit iaitu masing-masing RM5 juta, RM30 juta dan RM12 juta daripada rakan-rakan kongsinya.

Menurutnya keuntungan itu diterima dalam bentuk tunai dan beliau mengetahui anggaran jumlahnya kerana beliau ada mengira secara kasar hasil yang diterima daripada rakan-rakan niaganya.

Ag Tahir turut berkata bahawa kenderaan mewah dan barangan lain yang didakwa dijumpai padanya telah dibeli menggunakan wang keuntungan dan gajinya.

Sementara itu Ag Tahir juga menafikan semua dakwaan yang dibuat terhadapnya dalam kenyataan saksi oleh bekas timbalannya, Teo Chee Kong.

Ini termasuk sistem kutipan berpusat di mana “sumbangan” dikutip daripada kontraktor serta formula yang didakwa dilaksanakan dengan pengetahuan Ag Tahir.

“Saya tidak terlibat dalam sistem kutipan berpusat seperti yang dinyatakan, malah sistem itu telah lama wujud sejak tahun 1989 seperti yang disebut oleh Teo Chee Kong dalam kenyataan saksinya,” katanya.

Ag Tahir turut menyatakan bahawa kenyataan Teo adalah rekaan, tidak berasas dan hanya menggunakan namanya.

Teo menjadi Timbalan Pengarah selepas
Timbalan Pengarah jabatan tersebut, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong bersara.

Ag Tahir dibicarakan bersama isterinya Fauziah Piut, 60, dan Lim, 69.

Ketiga-tiga mereka berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah antara Oktober hingga November 2016.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Hj Ansari Abdullah dan Erveana Ansari. Manakala Lim diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.

Perbicaraan akan disambung esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular