Kota Kinabalu : Pasukan Wanita KARAPAW yang mewakili Sabah berjaya membuktikan dominasi mereka dalam perlumbaan perahu naga apabila merangkul juara pada Festival Perahu Naga Antarabangsa Melaka ke-40 2025 di Melaka baru-baru ini.
Kemenangan itu diraih menerusi kategori 200 meter wanita akhir sekaligus menewaskan pasukan kuat termasuk KL Barbarians, Royal Malaysia Police (RMP) dan Z.W.L Phoenix.
Festival yang berlangsung selama dua hari berakhir 22 Jun lalu itu dianjurkan bersama Melaka Dragon Boat Association, Zheng He Duo Yun Xuan Art Gallery, Tourism Melaka dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Pasukan wanita KARAPAW itu menjadi pasukan wanita penuh pertama yang berjaya menamatkan perlumbaan bagi acara marathon 8,000 meter dengan masa 43:31.05, hanya lima minit di belakang pasukan lelaki juara.
Festival itu telag berlangsung di Sungai Melaka (Jeti Quayside bertentangan Casa del Rio Hotel).
Wakil pasukan, Rebecca Augustine berkata, kemenangan yang dicapai itu membolehkan pasukannya membawa pulang hadiah berupa piala; pingat bagi setiap ahli pasukan dan wang tunai.
Katanya, festival itu merupakan satu perjalanan yang amat bermakna buat pasukan wanita Karapaw apabila muncul satu-satunya pasukan yang dianggotai sepenuhnya wanita bagi menentang pasukan lelaki dan campuran.
“Walaupun fizikal dan strategi pasukan lawan jauh berbeza, kami mendayung dengan sepenuh tenaga dan semangat dipimpin oleh drummer Cynthia Paulin dan Juragan Jimmy David.
“Kami berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa 43:31.05, hanya lima minit di belakang pasukan lelaki juara. Pada hari kedua menyaksikan perjuangan sebenar dalam acara 200m Women’s.
“Dalam saringan pertama, kami berada di tempat kedua, hanya dipisahkan milisaat daripada KL Barbarians. Kami bangkit semula di repechage dan memenangi saingan tersebut untuk melayakkan diri ke separuh akhir, di mana kami sekali lagi bertarung rapat dengan KL Barbarians.
“Pada peringkat akhir, kami berdepan pasukan-pasukan kuat termasuk KL Barbarians, Royal Malaysia Police (RMP) dan Z.W.L Phoenix. Dengan setiap kayuhan yang penuh semangat, kami akhirnya berjaya muncul sebagai juara 200m Women’s, membawa pulang piala dan kemenangan yang tidak ternilai,” katanya.
Sementara itu, Rebecca berkata, pihaknya berbangga kerana dapat mengangkat identiti negeri Sabah melalui jersey perlumbaan bercorak etnik yang memaparkan motif Pinokol, Sinimpung dan Linangkit melambangkan ketelitian, kekuatan dan jalinan perpaduan.
Katanya, pasukan yang diketuai ketua pasukan KARAPAW, Tonny Gudang dan pasukan wanita, Siti Sakinah Mohd Aslam itu dilengkapkan dengan rilit kepala tradisi bermotifkan Linangkit Sabah yang ditaja oleh Chanteek Borneo.
“Setiap titisan peluh, setiap kayuhan, dan setiap detik bersama menjadi kisah yang akan terus kami kenang dan kongsikan bukan dengan rasa megah, tetapi dengan rasa syukur dan semangat yang tidak akan pernah padam,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua ahli pasukan dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan pasukan itu berjaya meraih kemenangan berganda.
Selain kejayaan di Melaka, Pasukan Karapaw turut mencatatkan pencapaian membanggakan dalam beberapa kejohanan baru-baru ini.
Pada 18 Mei 2025 semasa Sabah FCAS Dragon Boat Race 2025, kami muncul sebagai Johan Women’s 200m (Kinabalu Phoenix Trophy) dan pada hujung tahun lalu semasa Penang International Dragon Boat Regatta 2024, pasukan wanita Karapaw mendapat tempat ke-enam dalam Premier Women’s 400m. – SABAH MEDIA