Oleh J. Evachel John
SANDAKAN: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin selepas didapati bersalah menyebabkan kematian isterinya yang sedang hamil enam bulan ketika melakukan hubungan seks ganas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu terhadap Mohd Rusdi Mohd Nor, 38, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan yang munasabah.
Mohd Rusdi, seorang penganggur, telah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh terhadap isterinya, Dr Azma Ab Rajab, 36, seorang pegawai perubatan pada 9 November 2022 antara jam 1 pagi hingga 10 pagi di sebuah kondominium, di Jalan Utara di sini.
Mohd Rusdi disabitkan bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Dalam keputusannya, hakim menyatakan bahawa mahkamah telah menimbang faktor mitigasi yang dikemukakan oleh peguam tertuduh, kenyataan daripada keluarga mangsa serta hujahan pihak pendakwaan mengenai faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Mahkamah ini juga telah mengambil kira bahawa tiada apa-apa bukti menunjukkan pembunuhan itu telah dirancang dan tiada faktor-faktor keganasan sebelum kejadian berlaku.
“Pihak pendakwaan telah berhujah dan meminta mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang tinggi…. Hukuman yang berat terhadap seorang suami dan bakal bapa, apabila beliau terpaksa hidup seumur hidup menanggung beban bahawa bukan sahaja isterinya telah meninggal dunia di tangannya sendiri, tetapi anak sulungnya, dan mungkin satu-satunya anaknya, turut kehilangan nyawa akibat perbuatannya sendiri,” katanya.
Mahkamah turut mengambil kira keadaan di mana kejadian tersebut mengakibatkan kehilangan nyawa seorang bayi yang belum sempat dilahirkan, serta pernyataan tertuduh bahawa kematian berlaku secara tidak sengaja ketika mereka melakukan hubungan seks ganas.
Semasa rayuan, peguam Datuk Ram Singh bersama Prem Elmer Ganasan meminta agar hukuman diringankan, dengan menyatakan bahawa Mohd Rusdi menyesal dan insaf atas kejadian yang berlaku secara spontan dan tanpa niat membunuh.
Ram turut berhujah bahawa ini merupakan kesalahan pertama Mohd Rusdi, dan sepanjang tempoh tahanan, dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Tiada ciri-ciri atau tanda-tanda menunjukkan berlakunya perbuatan mencekik. Satu-satunya penemuan adalah kecederaan di sekitar kawasan mulut dan hidung, serta di kedua-dua belah leher.
“Tiada sebarang bukti menunjukkan berlaku pertengkaran antara mereka sepanjang tempoh perkahwinan, dan kejadian tersebut berlaku selepas lima bulan mereka berkahwin,” kata Ram.
Rusdi yang diberi peluang untuk bercakap pula memohon maaf atas perkara yang telah berlaku.
“Saya tahu bagi keluarga arwah Azma agak berat dan bebanan kehilangan adik dan anak tapi saya sebagai seorang suami yang baru saja berkahwin dengan arwah lebih merasa kehilangan atas kehilangan arwah. Saya mohon minta maaf sekali lagi,” katanya dengan sebak.
Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah berkata, melalui keterangan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan punca kematian si mati adalah akibat asfiksia melalui perbuatan menekup (smothering), dan bukan kematian serta-merta.
“Perbuatan tersebut menyebabkan si mati kehilangan nafas terakhirnya ketika sedang bergelut untuk terus hidup. Pihak pendakwaan juga ingin mengingatkan bahawa pada waktu kematiannya, si mati sedang mengandung anak sulungnya, yang juga merupakan anak kepada tertuduh,” katanya.
Risal berkata si mati dalam kes ini merupakan seorang pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan, Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
“Beliau menjalankan segala tanggungjawab yang diharapkan daripada seorang pegawai perubatan walaupun berada dalam keadaan hamil. Meskipun dibebani dengan tugas-tugas sebagai pegawai perubatan, beliau tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada tertuduh. Beliau tetap mampu berkhidmat kepada suaminya walaupun keletihan setelah bertugas untuk tempoh yang panjang, namun akhirnya menemui ajal secara tragis di tangan suaminya sendiri.
“Beliau telah mendedikasikan hidupnya untuk menyelamatkan nyawa orang lain, tetapi akhirnya tidak mampu menyelamatkan dirinya sendiri. Tertuduh, yang juga suami kepada si mati, tidak pernah dibebani atau menanggung sebarang perbelanjaan kerana sepanjang mereka tinggal di Sandakan, si mati merupakan pencari nafkah tunggal keluarga,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan telah memanggil 23 orang saksi, manakala semasa peringkat pembelaan, dua orang saksi telah dipanggil iaitu tertuduh dan seorang pakar perunding forensik. – SABAH MEDIA