Sandakan: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) telah memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan dan pembangunan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) sejak penubuhannya pada tahun 2008.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, BSBCC yang merupakan satu-satunya pusat seumpamanya di dunia untuk perlindungan spesies terancam ini, adalah projek kerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) dan Jabatan Perhutanan Sabah.
Beruang madu dikategorikan sebagai Spesies Dilindungi Kelas 1 di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri 1997.
“Tahun lalu, KePKAS telah memperuntukkan sebanyak RM228,420 untuk pembinaan Fasa 1 Foyer Masuk yang kini telah siap sepenuhnya.
“Manakala pada tahun ini, peruntukan tambahan sebanyak RM250,000 diberikan bagi pembinaan Fasa 2. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula tahun ini,” katanya.

Christina turut menyatakan bahawa tarikan pelancong berusia 17 tahun itu kini menjadi rumah kepada 42 ekor beruang madu yang diselamatkan dan terus menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Saya dimaklumkan oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr (Kehormat) Wong Siew Te bahawa pusat ini menerima 79,362 pengunjung pada tahun 2024, dengan purata 6,613 pengunjung sebulan. Dalam tahun tersebut, pelawat antarabangsa datang dari 115 buah negara, dengan United Kingdom, Australia dan Itali menjadi tiga negara teratas.
“Musim kemuncak pelawat adalah dari Julai hingga Oktober. Malah, kita menerima lebih ramai pelawat tempatan ketika cuti sekolah,”katanya.
Menurutnya lagi, golongan pendidik, penyelidik, pelajar sekolah dan guru, pencinta alam sekitar, pemulihara hidupan liar, serta pencinta haiwan adalah antara kumpulan utama pelawat ke pusat ini.
“Majoritinya terdiri daripada pelancong berasaskan alam semula jadi selain ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa BSBCC juga merupakan agensi pelaksana utama untuk Pelan Tindakan Beruang Madu Negeri selama 10 tahun,” tambahnya lagi.