HomeUtamaLelaki warga asing didakwa edar dadah lebih 3kg mengaku tidak bersalah

Lelaki warga asing didakwa edar dadah lebih 3kg mengaku tidak bersalah

Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat lebih tiga kilogram, yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Tertuduh, Rizal Aral, yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Dayangku Aida Amira Aminuddin.

Menurut pertuduhan, Rizal didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 3,085.64 gram dalam kejadian di kawasan Inderasabah, Tawau, sekitar jam 3.30 petang pada 20 Jun lalu.

Sebelum ini, pada 25 Jun lalu media melaporkan bahawa tertuduh ditahan oleh pihak berkuasa ketika cuba melarikan diri dan mencampakkan sebuah beg kelabu, sebaik menyedari kehadiran anggota polis.

Pemeriksaan polis ke atas beg tersebut menemui tiga bungkusan teh jenama Guanyinwang yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, dengan nilai anggaran pasaran gelap sebanyak RM105,000.

Siasatan awal juga mendapati dadah berkenaan dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui laluan laut menggunakan bot laju, yang merupakan antara modus operandi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Pegawai Pendakwa, ASP Jeffrey Kadison, tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh bukan warganegara.

Mahkamah menetapkan tarikh 5 Ogos 2025 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berkaitan bahan rampasan.

Tertuduh kini berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 15 kali, jika sabit kesalahan.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular