KOTA KINABALU : Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-0 kepada Terengganu FC dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Sang Badak menutup kempen liga dengan keputusan mengecewakan meskipun berjaya memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.
Sabah hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Fergus Tierney pada minit ke-38, namun percubaan penyerang itu sekadar terkena tiang gol.
Sebelum itu, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan dengan pelawat terlebih dahulu menguji kubu Sabah menerusi Gervane Kastaneer seawal minit keempat, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.
Sabah turut memiliki peluang menerusi Miguel Cifuentes pada minit ke-15 tetapi rembatan bekas pemain Malaga itu berjaya diselamatkan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.
Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Terengganu terus meningkatkan tekanan ke atas kubu Sang Badak dengan beberapa percubaan berbahaya termasuk menerusi Yann Mabella.
Khairul Fahmi sekali lagi tampil cemerlang apabila dua kali menafikan percubaan pemain import pelawat itu untuk memastikan Sabah terus berada dalam permainan.
Bagi mengubah rentak perlawanan, Sabah memasukkan Kervens Belfort dan Chris Marlon Ondong-Mba sebagai pemain gantian.
Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu menemui jaringan kemenangan menerusi pemain gantian Shervoni Mabatshoev pada minit ke-81.
Pemain dari Tajikistan itu berjaya mencipta impak segera selepas dimasukkan bagi menggantikan Kastaneer.
Sabah kemudian berusaha memburu gol penyamaan pada penghujung permainan namun gagal menembusi benteng pertahanan Terengganu sehingga wisel penamat dibunyikan.
Perlawanan itu turut menjadi penampilan terakhir Khairul Fahmi bersama Sabah FC, dengan penjaga gol berpengalaman itu tetap mencuri perhatian menerusi beberapa aksi menyelamat penting sepanjang perlawanan.
Kemenangan tersebut membolehkan Terengganu menamatkan musim dalam kelompok lima terbaik liga, manakala Sabah terpaksa akur menutup aksi terakhir di laman sendiri dengan kekalahan. – FOTO SABAH FC



