HomeIsu tempatanBengkel perkasa literasi digital, lahir lebih ramai pencipta kandungan kreatif

Bengkel perkasa literasi digital, lahir lebih ramai pencipta kandungan kreatif

Read Time:1 Minute, 39 Second

SANDAKAN :  Usaha memperkukuh literasi digital dan melahirkan lebih ramai pencipta kandungan kreatif terus diperkasa menerusi penganjuran Bengkel Video Kreatif, Live Streaming dan Media Sosial yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Wilayah Sandakan, di sini.

Program sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Seni dan Penulis Sandakan dengan kerjasama Perpustakaan Wilayah Sandakan, manakala pengendalian bengkel dilaksanakan oleh Khaiz Empire.

Bengkel berkenaan memberi fokus kepada penulisan kandungan media sosial, penghasilan video kreatif, teknik penyiaran langsung (live streaming) serta penggunaan aplikasi suntingan video sebagai usaha meningkatkan kemahiran digital peserta selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini.

Sepanjang program, peserta mengikuti lima slot pengisian yang merangkumi teknik penulisan kandungan media sosial yang berkesan, asas penghasilan video kreatif, teknik rakaman menggunakan peranti mudah alih, teknik suntingan video serta latihan praktikal menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti.

Dalam slot penulisan media sosial, fasilitator Sante Villiamon berkongsi mengenai peranan wartawan sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat serta tanggungjawab memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat, sahih dan beretika.

Beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam kewartawanan, amalan semakan fakta serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada teknik menghasilkan video kreatif bermula daripada proses perancangan kandungan, teknik rakaman, penggunaan aplikasi suntingan video sehingga proses penerbitan kandungan yang sesuai dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

Latihan praktikal yang dijalankan memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan secara langsung ilmu yang dipelajari dengan menghasilkan kandungan digital berdasarkan kreativiti masing-masing.

Pada masa sama, program itu turut menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama serta bertukar pandangan antara peserta dan fasilitator, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi dalam bidang media digital dan penghasilan kandungan kreatif.

Bengkel berakhir dengan sesi refleksi, rumusan keseluruhan program serta penyampaian cenderahati kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.

Penganjur berharap bengkel seumpama itu dapat melahirkan lebih ramai individu yang mahir dalam penulisan media sosial, penghasilan video kreatif serta penyampaian maklumat yang beretika, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti digital di Sabah yang lebih kreatif, berdaya saing dan bertanggungjawab.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘Sabah Genome Day’ 2026 perkasa literasi genomik, minat generasi muda terhadap...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular